KERAJAAN memperuntukkan RM680 juta untuk Program Penyeragaman Harga, Program Penstabilan Harga dan Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am pada 2022.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, RM240 juta daripada jumlah berkenaan adalah untuk melaksanakan Program Penyeragaman Harga yang melibatkan Pengedaran Barang Perlu, Gas Petroleum Cecair dan Community Drumming.
"Sejumlah RM400 juta untuk Program Penstabilan Harga Minyak Masak dan RM40 juta untuk Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Ulang siar Bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Pasar Besar Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.
Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Sabah Datuk Shahelmey Yahya; Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Sabah Georgie Abas dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, melalui program berkenaan kerajaan akan menanggung kos pengangkutan dan penghantar barang untuk membawa tujuh barangan kawalan dari pembekal di bandar ke kawasan-kawasan pedalaman terpilih.
"Program ini merangkumi Program Pengedaran Barang Perlu (beras, gula putih paket 1 kilo (kg), tepung gandum kegunaan am paket 1kg/ tepung gandum bukan kegunaan am paket 1kg, minyak masak paket 1kg/ botol 1 liter), Gas Cecair Petroleum (LPG) dan Community Drumming (Petrol RON95 dan Diesel).
"Tanpa program ini, barang-barang tersebut pastinya terpaksa dijual mahal kerana faktor pengangkutan dan transporter yang kini ditanggung oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, program yang dilaksanakan oleh kerajaan itu dapat memastikan barangan berkenaan dijual mengikut harga yang ditetapkan kerana kos-kos penghantaran telah ditanggung oleh kerajaan.
"Saya telah melawat POS (Point of Sales) di Pulau Bum-Bum, POS Mayok, POS Amin dan POS Charleys di Kundasang untuk melihat sendiri bagaimana barang-barang tersebut dihantar oleh transporter, direkod dan dijual untuk dinikmati penduduk setempat dengan harga sama dinikmati di bandar-bandar di Malaysia.
"Sebanyak 845 POS diwujudkan di Sabah dan jumlah keseluruhan POS di seluruh negara adalah 2,005,” tambahnya.
Sementara itu, mengulas mengenai program pelancaran sistem itu, Nanta berkata alat ulang siar yang dipasang di pasar akan menjadi rujukan dan saluran advokasi berkenaan norma baharu dan maklumat berguna lain untuk masyarakat.
"Sehingga kini, KPDNHEP telah memasang 6 unit iaitu di Pasar Utama Pekan Rabu Kedah, Pasar Chowrasta GeorgeTown, Pasar Payang Kuala Terengganu, Pasar Utama Siti Khadijah Kota Bharu, Pasar Besar Satok Kuching, Pasar Tamu Kapit dan kini di Pasar Besar Kota Kinabalu," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram