Kerani swasta rugi RM132,000 terpedaya teka bola sepak di Bahau


  • 112
  • Isnin, 17 Jan 2022

MANGSA mula menyedari ditipu selepas tidak dapat membuka akaun menggunakan aplikasi yang disediakan.

SEORANG kerani di sebuah syarikat swasta kerugian RM132,000 selepas terpedaya mendapat pulangan keuntungan mengikut kadar dijanjikan dalam pertandingan teka bola sepak secara dalam talian pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu wanita berumur 53 tahun telah terpengaruh menyertai pertandingan berkenaan menerusi aplikasi yang diperkenalkan oleh rakannya semasa berada di rumah di Jalan Tampin, Bahau, Negeri Sembilan.

Tertarik dengan tawaran keuntungan dua peratus mengikut modal yang dimasukkan bagi setiap teka perlawanan bola sepak itu, wanita itu membuka lima akaun berasingan menerusi aplikasi tersebut untuk menyertai pertandingan itu.

"Wanita itu membuat bayaran sebanyak enam kali transaksi pada hari sama ke sebuah akaun bank tempatan melibatkan jumlah RM132,000," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, wanita itu cuba untuk mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh dengan menggunakan aplikasi tersebut pada Ahad namun akaun tersebut tidak dapat berfungsi selain mendapati baki modal pada akaunnya telah tiada.

Katanya, mangsa yang menyedari telah ditipu telah membuat laporan polis pada Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai orang dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tipu, kerani, swasta, pertandingan, jempol