MAHKAMAH Tinggi Shah Alam mengenepikan hukuman 10 hari penjara dan denda RM4,000 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Selayang terhadap Daniel Iskandar, 19, remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' kerana disyaki mencuri tabung masjid.
Hakim Datuk Abd Halim Aman dalam semakan semula keputusan hukuman pada Isnin memerintahkan tertuduh untuk menjalani khidmat masyarakat di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tempoh 120 jam selama enam bulan.
Pada masa sama, beliau menyifatkan hukuman yang dijatuhkan Majistret terhadap tertuduh sebagai keterlaluan dan bukan hukuman yang mencerminkan satu bentuk pemulihan memandangkan tertuduh adalah pesalah muda.
"Mahkamah menyedari akan tempoh penjara 10 hari yang telah dijalani tertuduh selain denda RM4,000 yang telah dijelaskan.
"Namun demi masa depan tertuduh serta untuk mempunyai rekod kesalahan bersih, keputusan ini perlu disampaikan. Saya merasakan hukuman sesuai adalah satu perintah khidmat masyarakat di masjid," katanya.
Beliau berkata, perintah itu dikeluarkan di bawah Seksyen 293 (1)(e) Kanun Acara Jenayah (Akta 593) dan sekiranya Daniel Iskandar tidak melakukan perintah itu, pesalah muda terbabit boleh dihadapkan semula ke mahkamah dan boleh dihukum mengikut peruntukan asal.
Mengulas mengenai hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret terdahulu, Abd Halim berkata, berdasarkan hujah timbalan pendakwa raya, barisan peguam dan tertuduh serta nota catitan dan keterangan ketika prosiding di Mahkamah Majistret, pihaknya mendapati hukuman yang direkodkan adalah silap dan keterlaluan.
"Apa yang dilakukannya hanyalah cubaan mencuri dan tiada kerugian yang dialami pihak masjid,” katanya.
Terdahulu ketika prosiding semakan, Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Daniel Iskandar memaklumkan anak guamnya semasa kejadian berusia 18 tahun empat bulan iaitu masih muda, mempunyai masa depan dan kesalahan itu merupakan kali pertama dilakukannya.
"Jadi pihak kami memohon hukuman ditukarkan mengikut Seksyen 173A Kanun Prosedur Jenayah (CPC),” katanya dan menambah walaupun anak guamnya akan dibebaskan, namun rekod penjara 10 hari berpotensi mencemarkan masa depan anak guamnya yang masih muda.
"Saya mohon budi bicara yang Yang Arif untuk bagi bon di bawah Seksyen 173A dengan diberi teguran dan amaran. Saya juga mohon rekod penjara dipadamkan kerana boleh membawa risiko kepada masa depannya,” katanya.
Kata Mohamad Rafique, anak guam dan keluarganya merakamkan penghargaan kepada pihak mahkamah yang mengambil inisiatif memanggil sendiri untuk semakan itu.
Daniel Iskandar turut diwakili Peguam Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khuszairy.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat menegaskan pihaknya membantah untuk membenarkan bon di bawah Seksyen 173A (CPC) dengan tiada kesilapan semasa tangkapan.
"Tidak perlu semak keputusan ini memandangkan hukuman telah dijalankan, denda telah dibayar dan pesalah juga akan dibebaskan,” katanya.
Turut hadir pada prosiding semakan kehakiman itu ialah peguam pemerhati Peguam Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie mewakili Masjid Al Islahiah dan Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff dari Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram