DUA remaja di United Kingdom ditahan pada Ahad bagi membantu siasatan dalam insiden empat orang dijadikan tebusan di rumah ibadat orang Yahudi Congregation Beth Israel yang terletak di Colleyville, Texas, Amerika Syarikat (AS).
Polis Greater Manchester dalam satu kenyataan berkata, pegawai dari Pasukan Anti Keganasan North West membuat dua tangkapan berhubung kejadian itu.
"Penahanan itu juga sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan terhadap serangan yang berlaku di Sinagog di Texas pada 15 Januari 2022," katanya.
Menurut kenyataan, polis Britain juga sedia bekerjasama dengan penyiasat di AS.
Pada Ahad, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS mengenal pasti lelaki yang menjadikan seorang rabbi dan tiga lagi pengikutnya di rumah ibadat itu sebagai tebusan pada Sabtu sebagai warga Britain, Malik Faisal Akram, 44 tahun.
Agensi itu berkata, tiada tanda menunjukkan pihak lain terlibat.
Dalam pada itu, Presiden AS Joe Biden menyifatkan situasi tebusan itu sebagai "tindakan keganasan".
Media AS pada Sabtu melaporkan bahawa penahan tebusan itu mendakwa dirinya sebagai abang kepada pengganas yang disabitkan Aafia Siddiqui, seorang wanita Pakistan yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda dan kini menjalani hukuman penjara 86 tahun kerana cuba membunuh anggota tentera AS di Afghanistan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram