PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka bakal memuktamadkan pencarian ketua jurulatih baharu Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Perbincangan mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan berkenaan sedang berada di peringkat akhir dengan jurulatih dari Asia Timur dilaporkan bakal dibawa masuk.
Dua jurulatih Korea Selatan, Kim Pan Gon dan Kim Hak Bum merupakan antara nama disebut bakal menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan awal bulan ini.
Pan Gon, 52, ketika ini memegang jawatan sebagai Ketua Jawatankuasa Penyelia Skuad Kebangsaan Korea Selatan sejak 2017.
Beliau sebelum ini pernah menjadi pengurus Skuad Kebangsaan Hong Kong pada 2012 hingga 2017 dan pernah melatih beberapa kelab tempatan dan luar negara.
Pan Gon juga aktif sebagai pemain pada 1992 hingga 2004.
Sementara itu, seorang lagi calon, Hak Bum merupakan bekas pengendali skuad Bawah 23 Tahun Korea Selatan dan pernah membawa pasukan menjuarai kejohanan Bawah 23 Tahun AFC pada 2020.
Pengurus berusia 61 tahun itu juga pernah menguruskan beberapa kelab tempatan sejak tahun 1992.
Ketika ini, Hak Bum tidak mempunyai komitmen bersama mana-mana pasukan setelah berundur dari posisi terakhirnya.
Untuk rekod, FAM tidak pernah melantik ketua jurulatih daripada negara Asia untuk membimbing pasukan kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram