Tunggakan gaji Melaka United selesai


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jan 2022

MELAKA United pernah dipotong tiga mata ekoran gagal melunaskan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan. — Bernama

ISU tunggakan gaji para pemain dan pegawai Melaka United kini selesai apabila kelab pada Jumaat berjaya melunaskan semua hutangnya.

Perkara itu diumumkan oleh pengurusan kelab dalam satu kenyataan yang menjelaskan, tunggakan gaji berjaya diselesaikan setelah kelab melalui proses penstrukturan kewangan dan pentadbiran.

"Kelab Bola Sepak Melaka United hari ini telah melunaskan keseluruhan gaji para pemain dan pegawai pasukan Liga Super bagi musim 2021.

"Dengan ini, perancangan pasukan bagi musim 2022 berada di landasan yang tepat," menurut kenyataan itu.

Tambahnya, setelah melunaskan semua hutang terbabit, kelab kini sedang dalam fasa mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia.

Pihaknya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik kelab, KenTeam Sdn Bhd serta Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Justin Lim kerana memikul tanggungjawab mengendalikan Melaka United.

Sejak beberapa hari lalu, Melaka United menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air selepas beberapa pemain mendakwa gaji mereka tidak dibayar selama tiga bulan.

Malah, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) turut menzahirkan solidariti kepada barisan pemain Hang Tuah dan skuad Piala Presiden yang terlibat dalam isu tersebut.

Ini bukanlah kali pertama kelab itu dibelenggu masalah tunggakan gaji sehingga pernah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada musim lalu serta musim sebelumnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram