DUA kelab Liga Super, Melaka United dan Sarawak United berdepan kemungkinan dilarang daripada melakukan urusan perpindahan pemain dan dipotong mata sekiranya gagal melunaskan isu tunggakan gaji pemain.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, kedua-dua kelab itu diberi tempoh sehingga 31 Januari ini untuk menyerahkan bukti pembayaran gaji atau persetujuan bersama pemain.
"Daripada 22 pasukan yang bertanding, hanya tiga pasukan yang mempunyai hutang pada hujung tahun iaitu Perak, Sarawak United dan Melaka United.
"Untuk pasukan Perak, mereka ada pengurusan baharu dan saya sudah berhubung dengan CEO kelab. Mereka melakukan tugas yang baik dalam proses pengambilalihan dan juga menyelesaikan masalah hutang dengan profesional.
"Sementara Melaka United dan Sarawak United, kami beri dua jalan penyelesaian iaitu sama ada serahkan resit bayaran atau persetujuan bersama pemain," katanya kepada pemberita ketika sidang media berhubung kalendar Liga Malaysia 2022 pada Rabu.
Beliau berkata, jika kedua-dua kelab itu gagal menyerahkan salah satu dokumen berkenaan pada tarikh yang ditetapkan, larangan perpindahan pemain akan dilaksanakan serta merta pada 1 Februari 2022.
Tambahnya, selepas 14 hari dari tarikh berkenaan, tindakan memotong mata pula akan diambil oleh MFL.
Stuart menegaskan, pihaknya tidak pernah memberi ruang kepada mana-mana kelab untuk menangguhkan bayaran gaji tanpa persetujuan daripada pemain.
"Jika pemain bersetuju untuk dibayar selepas tarikh tersebut (31 Januari 2022), kami tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan, tetapi kami akan terus memantau supaya kelab membayar mengikut tarikh yang dipersetujui," katanya.
Menurut Stuart, setakat ini, MFL tidak menerima laporan rasmi daripada pemain Melaka United dan hanya mengambil tindakan berdasarkan akuan bersumpah (SD) yang diserahkan kepada pihaknya pada 15 Disember lalu.
Buat masa ini, katanya, pihaknya memberi kepercayaan kepada Persatuan Pemain-pemain Profesional Malaysia (PFAM) untuk berunding dengan kelab terbabit bagi menyelesaikan isu berkenaan.
"PFAM tahu mereka boleh menghubungi saya jika mengalami kesukaran untuk menyelesaikan perkara ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram