TERLALU besar pengorbanan legenda bola sepak kebangsaan, mendiang Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby Singh yang meninggal dunia pada usia 61 tahun secara mengejut pada malam Rabu.
Sepanjang beraksi untuk skuad Harimau Malaya bermula 1982-1991, Shebby telah mewakili negara di tiga temasya Sukan Asia iaitu 1982 (Delhi), 1986 (Seoul) dan 1990 (Beijing), selain meraih emas Sukan SEA 1989, serta gangsa pada edisi 1985.
Di arena domestik, Shebby dikenali sebagai pemain pertahanan kental sepanjang kerjayanya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan, sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports and ESPN Asia.
Selaku tonggak Kuala Lumpur, Shebby muncul juara liga 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994.
Selepas bersara, mendiang turut menjadi penasihat global Blackburn Rovers pada 2012-2013, selain pernah menjadi penasihat rancangan realiti, MyTeam serta Melaka Telekom FC, selain menjadi Penasihat Teknikal Johor Darul Takzim (JDT).
Tidak hairanlah, antara yang paling diingati peminat bola sepak tempatan sepanjang zaman sudah tentu ketika mendiang menjadi penasihat kelab MyTeam, sebuah kelab amatur yang menghimpunkan pemain bukan profesional seluruh negara pada 2006 hasil cetusan idea bersama Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Jason Lo.
Diuar-uarkan sebagai satu revolusi bola sepak tempatan untuk menarik minat dalam kalangan belia mempamerkan bakat masing-masing pada waktu itu, tiga syarat 'pelik' yang ditetapkan MyTeam ketika itu juga jelas mencuri perhatian ramai pihak termasuk media tempatan.
Tiga kriteria utama yang ditetapkan Shebby bersama panel pemilihan pemain MyTeam semasa itu adalah:
1. Pemain amatur yang tidak bermain secara profesional
2. Berusia 17 tahun ke atas
3. Boleh berlari 100 meter dalam masa 12 saat
Ketiga-tiga syarat khususnya kriteria ketiga iaitu boleh berlari 100 meter dalam masa 12 saat sememangnya mengejutkan ramai pihak, namun ia tidak menghalang kru MyTeam menjelajah ke 13 buah negeri untuk memilih tiga pemain terbaik di setiap negeri sekali gus dihimpunkan ke Bukit Jalil demi berdepan skuad Harimau Malaya.
Meskipun skuad MyTeam kini hanya tinggal kenangan, jasa Shebby yang terlibat dalam projek revolusi itu sememangnya mencetuskan impak apabila berjaya mencungkil bakat baharu dunia bola sepak seperti Azmi Muslim, Hasmizan Kamarodin, Amir Shariffudin Yunus, Mohd Soliahudin Said, T. Arun Kumar, Mohd Firdaus Mat Nor, Lam Tien Guan, S Sathiyaseelan, Lee Khang Yeong, Mohd Kamal Wira Abdul Samah dan ramai lagi.
Dilihat cukup merasai pemergian Shebby yang dianggap sebagai sahabat, Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengimbau semula kenangan mereka bekerjasama dalam program MyTeam apabila memuat naik satu InstaStory pada Rabu.
"Selamat berehat Shebby. Betapa hebatnya perjalanan kita bersama. Saya akan merindui awak, sahabat saya," kata Menteri Kesihatan itu di InstaStory beserta gambar pasukan MyTeam yang menyaksikan Shebby membimbing kelab amatur berkenaan.
Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan bahawa Shebby Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri, Johor kira-kira pukul 7.30 malam.
Mendiang Shebby meninggalkan isteri, Harbans Kaur yang juga bekas pelari kebangsaan serta dua anak, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram