Melaka United bukan anak emas MFL — Stuart Ramalingam


  • Podium
  • Rabu, 12 Jan 2022

CEO MFL, Stuart Ramalingam. — Bernama

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan pihaknya mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu pemberian lesen kepada Melaka United yang dibelenggu masalah gaji ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, pemberian lesen untuk beraksi dalam Liga Malaysia kepada kelab itu adalah berdasarkan undang-undang perlesenan yang ditetapkan.

"Jika Melaka United anak emas MFL, tak mungkin mereka dipotong mata dua musim sebelum ini. Sebenarnya, isu perlesenan ini sering menjadi perkara yang mengelirukan ramai pihak.

"Saya ingin jelaskan bahawa penyerahan dokumen kewangan semua pasukan sehingga tarikh 30 Jun dijadikan rujukan Badan Perlesenan MFL.

"Semua isu hutang berkaitan tiga kelab ini (Perak FC, Sarawak United dan Melaka United) adalah selepas tarikh tersebut," katanya kepada pemberita ketika sidang media berhubung kalendar Liga Malaysia 2022.

Tegasnya, Jawatankuasa Perlesenan MFL tidak boleh mengambil pendekatan untuk tidak memberi lesen kepada ketiga-tiga kelab berkenaan kerana mereka tidak melanggar undang-undang.

Dalam pada itu, Stuart berkata, pihaknya kini sudah berbincang dengan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk menguatkuasakan peraturan baharu bagi lesen musim 2023 dengan menganjakkan tarikh 30 Jun kepada 30 September.

"Perkara ini adalah permintaan daripada pihak PFAM sendiri dan telah diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Perlesenan Kelab MFL.

"Mungkin ada yang bertanya mengapa 30 Septermber. Ini adalah kerana kami perlu menyerahkan nama-nama kelab kepada AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) untuk lesen kebangsaan tahunan MFL dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram