RM1.4 juta punca Saddil tak jadi ke Serbia


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jan 2022

SADDIL (kiri) masih mempunyai kontrak bersama Sabah FC sehingga November 2022. — Sabah FC

KELAB Liga Super, Sabah FC baru-baru ini dilaporkan menolak permintaan sebuah kelab Liga Serbia yang mahu mendapatkan khidmat pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani.

FK Novi Pazar, yang beraksi di liga utama Serbia, dikhabarkan menyatakan hasrat untuk memancing pemain itu secara rasmi menerusi emel.

Bagaimanapun, permintaan kelab itu ditolak mentah-mentah ekoran hasratnya untuk mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu secara percuma.

Sabah FC difahamkan mahu mendapatkan keuntungan melalui penjualan pemain sayap itu berikutan beliau masih mempunyai kontrak bersama kelab sehingga 30 November 2022.

Menurut ejen Saddil, Alexander Talpes, The Rhinos menuntut bayaran berjumlah 300,000 Euro (RM1.43 juta) jika FK Novi Pazar mahu mendapatkan tandatangan pemain itu.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh pengurus pasukan, Marzuki Nasir kepada kelab terbabit.

"Marzuki meminta kepada FK Novi Pazar yuran perpindahan bernilai 300,000 Euro," katanya.

Susulan permintaan tersebut, kelab Serbia itu terus menarik diri daripada perbincangan untuk mendapatkan Saddil.

Saddil bagaimanapun mendakwa, beliau mempunyai perjanjian khusus bersama Sabah FC yang menyatakan bahawa kelab akan melepaskannya secara percuma jika terdapat tawaran daripada kelab Jepun, Korea Selatan dan juga Eropah.

Menurutnya, perjanjian itu dibuat ketika beliau menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab pada pertengahan tahun lalu.

Namun, klausa itu dilaporkan tidak ditulis dalam kontrak baharu tersebut menyebabkan beliau tidak dapat mengambil apa-apa tindakan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram