Tonggak bek NSFC tahu kualiti Goulon, Khair


  • Podium
  • Khamis, 13 Jan 2022

NEGERI Sembilan dinaikkan pangkat ke Liga Super selepas menjuarai Liga Premier musim lalu. — NSFC

KEHADIRAN dua pemain pertahanan baharu, Herold Goulon dan Khair Jones dipercayai mampu mengukuhkan lagi benteng pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam menghadapi saingan Liga Super 2022.

Tonggak pertahanan NSFC, Annas Rahmat berkata, kualiti fizikal dan teknikal yang dimiliki kedua-dua pemain itu bakal memberi kelebihan buat pasukan dalam menyerap asakan pihak lawan.

"Kita tahu persembahan Goulon sepanjang bersama Sri Pahang sebelum ini malah dia juga boleh menjaringkan gol untuk pasukan, rasanya kita tidak boleh lupa jaringan semasa dengan Perak, pada tiga musim lalu.

"Kualiti fizikal yang dimiliki Goulon juga sememangnya boleh jadi nilai tambah kepada benteng pasukan malah dia juga sudah ada pengalaman beberapa tahun bermain di Liga Malaysia.

“Manakala Khair, saya pernah menjadi rakan sepasukannya dua tahun lalu di Melaka dan amat mengenali kemampuan dia yang saya sifatkan antara pemain yang bagus," katanya.

Jelanya, kehadiran Khair yang berkaki kiri sememangnya ditagih bagi mengisi posisi pertahanan kiri dan ketinggian 1.91 meter yang dimilikinya pasti memberi kelebihan kepada pasukan.

Pertahanan berusia 28 tahun itu berharap, NSFC mampu kekal di Liga Super dalam tempoh yang lama selepas berusaha keras sehingga menjuarai Liga Premier pada musim lalu.

Tambahnya, berdasarkan pencapaian kelab pada musim lalu, beliau yakin skuad Hobin Jang Hobin mampu memberi cabaran dalam saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram