Shebby Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway Iskandar


  • Primer
  • Rabu, 12 Jan 2022

SHEBBY Singh sebelum ini juga dikenali sebagai pengulas sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa. — Facebook

BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby Singh meninggal dunia ketika berbasikal di sekitar Sunway Iskandar pada pukul 7 malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah dia terbabas ketika sedang berbasikal.

"Kejadian tersebut juga tiada kaitan dengan sebarang insiden langgar lari," katanya.

Terdahulu, tular dakwaan yang mengatakan bahawa Shebby meninggal dunia disebabkan sakit jantung ketika sedang berbasikal.

Selain bermain dalam skuad kebangsaan di posisi pertahanan, Shebby juga merupakan kapten kepada pasukan bola sepak Kuala Lumpur dan berjaya membantu pasukan itu memenangi Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut sejak 1987 hingga 1989.

Selepas bersara daripada menjadi pemain, beliau pernah menjadi jurulatih untuk pasukan MyTeam, sebuah pasukan bola sepak realiti TV pada tahun 2006 dan 2007 serta kelab Telekom Melaka.

Malah, beliau juga pernah berada dalam jawatankuasa pengurusan bola sepak kebangsaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2004.

Selain itu, Shebby juga aktif sebagai jurulatih dan dikenali sebagai pengulas sukan bola sepak antarabangsa mahupun tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram