SELEPAS kehilangan penyerang berbisa, Ifedayo Olusegun ke Melaka United FC, Selangor kini giat memburu pengganti penjaring terbanyak skuad Merah Kuning itu pada musim lepas.
Sang Gergasi Merah dikhabarkan sedang memantau penyerang yang berasal dari Brazil, Hyuri Henrique de Oliveira Costa ataupun dikenali sebagai Hyuri untuk menjadi muka baharu dalam pasukan itu.
Hyuri memiliki pengalaman bermain bersama tujuh kelab di liga Brazil dan dua kelab Liga China.
Secara keseluruhannya, Hyuri menyumbang 38 gol dalam 191 perlawanan.
Kini dia beraksi di kelab divisyen1 Liga Pro Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama pasukan Hatta, tetapi hanya membuat satu penampilan sahaja dalam Piala Presiden sejak menyertai kelab itu pada Ogos tahun lalu.
Spekulasi perpindahan pemain itu bersama pasukan Gergasi Merah dikongsi oleh pemerhati sukan, T. Avineshwaran menerusi ciapan Twitternya baru-baru ini.
Hyuri kini berusia 30 tahun dan memiliki fizikal yang kuat dengan ketinggian 1.86 meter, lebih tinggi dari Ifedayo.
Bagaimanapun, kemampuannya menjadi mesin pencetak gol seperti Ifedayo sedikit membimbangkan berdasarkan rekod jaringan bersama kelab-kelab lamanya.
Paling tinggi, Hyuri menjaringkan sembilan gol dalam 27 perlawanan bersama kelab China, Beijing Chengfeng pada musim 2014.
Sepanjang beraksi di liga Brazil tahun lalu, Hyuri hanya menjaringkan lima gol dalam 26 perlawanan melibatkan semua kejohanan, sedangkan Ifedayo mencetak 25 gol dalam 22 perlawanan di Liga Malaysia.
Prestasi semasa ini pastinya kurang menggembirakan penyokong Red Giants yang mengharapkan pengganti Ifedayo sekurang-kurangnya mempunyai rekod jaringan yang lebih baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram