KEJOHANAN Piala Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah) tidak akan dimasukkan dalam saingan Liga Malaysia bermula musim baharu, sebaliknya akan dijadikan pertandingan berasingan dalam kalendar Liga Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, edisi kali ini yang bakal mempertemukan juara Liga Super, Johor Darul Takzim dan KL City FC sebagai juara Piala malaysia, akan dilangsungkan pada 26 Februari depan.
"Untuk perlawanan Piala Sumbangsih, ia akan dimainkan di laman juara Liga Super. Bagi edisi kali ini, ia akan berlangsung di Johor.
"Kami putuskan untuk tidak menganjurkannya di stadium neutral bagi mengelakkan pergerakan besar-besaran dalam kalangan penyokong," katanya kepada pemberita ketika sidang media berhubung kalendar Liga Malaysia 2022.
Selain itu, katanya, kejohanan Piala FA yang ditangguhkan selama dua tahun akibat Covid-19 akan dianjurkan semula pada tahun ini dengan format baharu.
Jelas Stuart, peringkat suku akhir dan separuh akhir yang sebelum ini menampilkan aksi timbal balik akan ditukar kepada satu pusingan sahaja, dengan lokasi perlawanan ditentukan menerusi undian.
Beliau berkata, dianggarkan sebanyak 30 hingga 40 pasukan bakal mengambil bahagian dalam pertandingan Piala FA musim ini, bergantung kepada penyertaan pasukan Liga Premier dan Liga M3.
Tambahnya, slot ke Piala AFC sebelum ini yang diberikan kepada juara Piala Malaysia akan dikembalikan kepada juara Piala FA seperti sedia kala.
Pusingan pertama Piala FA akan berlangsung pada 11 Mac depan dan perlawanan akhir dijangka pada 6 Ogos 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram