LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan lebih ramai penyokong hadir ke stadium pada musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, perkara itu juga adalah berdasarkan permintaan daripada pasukan-pasukan yang bertanding.
"Saya pasti KBS dan MKN sedar bahawa tidak pernah berlaku kluster dalam kalangan peminat dan juga atas padang dan saya harap rekod ini akan dipertimbangkan oleh mereka.
"Bagaimanapun, kami memerlukan kerjasama daripada penyokong dan pasukan-pasukan yang bertanding untuk memastikan kelonggaran yang diberikan dapat dipatuhi dengan baik," katanya dalam sidang media berhubung kalendar Liga Malaysia 2022 pada Rabu.
Katanya, pihaknya akan berbincang mengenai penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan sebelum mengumumkan mengenai perkara itu.
Menurut beliau, buat masa ini adalah mustahil untuk meningkatkan kapasiti stadium kepada 100 peratus memandangkan situasi Covid-19 negara yang masih belum stabil serta kehadiran varian baharu yang berbahaya.
Jelasnya, keutamaan MFL ketika musim pandemik adalah kepada keselamatan dan kesihatan penyokong, namun percaya kapasiti stadium akan meningkat dari masa ke masa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram