BAU rumput dan melihat rakan sepasukan berebut bola adalah perkara yang dirindui kapten Selangor FC dan pemain kebangsaan, Brendan Gan selepas disahkan menghidap kanser testis peringkat awal pada Julai tahun lalu.
Pemain berusia 33 tahun itu menjalani pembedahan dan kemudian memberi tumpuan kepada proses pemulihan dan rehabilitasi sehingga akhir 2021.
Kini, beliau kembali dengan lebih gigih dan bersemangat bersama The Red Giants, sambil menantikan tahun yang hebat bersama pasukan.
“Tiada perasaan yang lebih baik daripada berada di atas padang bersama rakan sepasukan anda. Ia tidak dapat digambarkan
"Saya pernah mengalami kecederaan pada masa lalu dan berehat panjang disebabkannya. Tetapi kali ini berbeza. Ia bukan sesuatu yang saya alami akibat bola sepak.
“Berada di luar padang untuk sekian lama adalah satu saat yang sukar. Saya sangat bersyukur dapat kembalil," kata bekas pemain tengah Perak dan Kelantan itu.
Brendan sememangnya sudah tidak asing lagi dengan kecederaan.
Beliau mengalami dua kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada 2015 dan 2016 ketika bersama Kelantan tetapi bangkit untuk pulih sepenuhnya, dan kembali ke padang dengan membantu Perak menjulang Piala Malaysia pada 2018.
Beliau mempunyai impian untuk melakukan perkara yang sama dengan Selangor.
“Saya mempunyai matlamat dan aspirasi untuk kelab ini. Kami tidak dapat memberikan 100 peratus kerana Covid-19, perintah berkurung dan lain-lain. Jadi, banyak lagi yang perlu kami berikan,” tambah Brendan.
Motivasinya lebih tinggi berbanding sebelum ini memandangkan persaingan merebut tempat di bahagian tengah Selangor semakin sengit dengan adanya pemain seperti Jordan Baha Abdelrahman, Zahril Azri Zabri, Aliff Haiqal Lau, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Abdul Halim Saari.
“Persaingan membuatkan semua orang bekerja lebih keras. Jika anda bersenang-lenang dan tahu bahawa tempat anda dalam pasukan terjamin, maka ketika itulah masalah timbul.
“Adalah lebih baik untuk berada dalam pasukan yang setiap pemain perlu berusha untuk mendapatkan tempatnya,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram