ISU tunggakan gaji terus menghantui arena bola sepak tempatan apabila kali ini melibatkan Melaka United (MU).
Pada Selasa, bekas pemain pertahanan pasukan itu, Khairul Helmi Johari mendedahkan pihak pengurusan MU masih belum melunaskan tunggakan gajinya selama tiga bulan.
Malahan Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia) turut mendesak MU agar melunaskan tunggakan segera kepada para pemainnya secepat mungkin.
Dedah PFA Malaysia, tunggakan skuad utama MU adalah sebanyak tiga bulan dan tunggakan bagi pasukan Piala Presiden adalah sebanyak dua bulan setengah.
Malahan, PFA Malaysia turut menghantar notis tuntutan kepada pengurusan MU dan menggesa agar tunggakan dilunaskan selewat-lewatnya pada 19 Januari.
Susulan itu, MU menerusi kenyataan pada Rabu menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai musim 2021 dalam proses akhir penstrukturan semula dari segi pentadbiran serta kewangan.
"Pihak pengurusan kelab memberi jaminan untuk menyelesaikan semua tunggakan dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan MU pada 2022 berjalan lancar.
"Pihak pengurusan menghargai kesabaran dan kerjasama daripada para pemain serta pegawai MU," ujar kenyataan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram