Melaka United buru pemain sayap The Bos Gaurus


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jan 2022

FIRDAUS (depan) juga boleh beraksi di bahagian tengah.

SELEPAS melepaskan beberapa pemain skuad utama baru-baru ini, kelab Liga Super, Melaka United dilaporkan giat memburu beberapa pemain untuk memperkuat pasukan bagi saingan musim baharu.

Selepas tempoh pinjaman pemain Johor Darul Takzim II, S Kumaahran tamat, skuad Hang Tuah dilaporkan sedang mencari penggantinya bagi mengisi kekosongan di bahagian sayap pasukan.

Difahamkan, calon utama yang menarik minat ketua jurulatih pasukan, Zainal Abidin Hassan adalah pemain dari kelab utara tanah air yang beraksi bersama Perak FC, Firdaus Saiyadi.

Rundingan bersama pemain berusia 25 tahun itu sedang dijalankan dan difahamkan berada di peringkat akhir.

Selain sayap kanan, pemain yang dikenali dengan kelincahannya itu juga boleh beraksi di bahagian tengah.

Beliau mula beraksi bersama skuad utama Perak pada 2016 ketika berusia 20 tahun selepas mendapat kepercayaan ketua jurulatih Perak ketika itu, mendiang Karl Heinz Weigang.

Malangnya, pada tahun sama beliau didapati positif dadah jenis D-methamphetamine, sejenis perangsang yang tersenarai dalam bahan larangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA)

Ekoran insiden berkenaan, beliau digantung 2 tahun berkuatkuasa 9 Jun 2016 hingga 8 Jun 2018 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selepas menjalani penggantungan, beliau mula bangkit dan menampilkan aksi memberangsangkan bersama pasukan sehingga diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama Perak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram