MENJELANG aksi Liga Super yang dijangka bermula akhir Februari ini, kebanyakan pasukan dilihat aktif dalam jendela perpindahan kali ini apabila pelbagai pertukaran pemain keluar dan masuk dilakukan bagi memperkuat pasukan.
Antara yang turut aktif dalam jendela perpindahan kali ini adalah Terengganu FC (TFC) yang serius dalam menaik taraf bahagian serangannya apabila membawa masuk duo Afrika dari KDA FC, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre.
TFC menjaringkan 33 gol dalam liga musim lalu, kelima terbanyak di belakang Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, dan Penang FC.
Kemasukan kedua-dua pemain itu pastinya meningkatkan lagi keupayaan serangan pasukan yang sebelum ini diketuai oleh penyerang dari Brazil, David Da Silva.
Pemain kebangsaan, Faisal Halim kemungkinan besar bakal mempertahankan posisinya di bahagian sayap kiri pasukan.
Musim lalu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu merupakan penjaring terbanyak Terengganu dalam semua perlawanan dengan 10 gol.
Beliau juga merupakan antara pemain sayap tempatan terbaik ketika ini dan sering memberi ancaman di bahagian kiri lawan.
Di bahagian sayap kanan pula, pemain yang digelar ‘Messi Terengganu’, Faiz Nasir merupakan antara pemain berbakat yang sesuai diletakkan dalam kesebelasan utama.
Jika diberi peluang oleh pengendali TFC, Nafuzi Zain, pemain yang dikenali dengan skil individu yang mantap, kelajuan, visi serta stamina yang tinggi itu boleh menjadi mimpi ngeri buat pertahanan kiri lawan.
Walaupun tidak mempunyai rekod jaringan yang boleh dibanggakan, kehadirannya di atas padang sering kali memberi kelebihan buat pasukan di bahagian kanan.
Sementara itu, gandingan hebat dua import baharu di bahagian depan, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre yang disambar dari KDA FC sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat.
Kedua-dua pemain itu menyumbangkan 23 jaringan buat Kedah dalam saingan liga musim lalu, lebih separuh daripada jumlah 33 jaringan yang dijaringkan Terengganu.
Sherman menjaringkan 13 gol serta empat bantuan gol dalam 17 perlawanan manakal Kipre menyumbang 10 jaringan serta 14 bantuan gol dalam 21 perlawanan liga.
Malah, jika dibandingkan dengan penjaring terbanyak liga Sang Penyu musim lalu, iaitu David Da Silva yang mencatatkan tujuh gol dan satu bantuan gol dalam 15 perlawanan, rekod kedua-dua pemain itu adalah jauh lebih baik.
Berdasarkan statistik, kehadiran kedua-dua pemain itu bakal memberi nilai tambah dalam pasukan.
Selain daripada nama-nama di atas, TFC masih mempunyai Jordan Mintah, Nik Akif dan Engku Syakir yang semuanya berbakat besar yang pastinya memberi kesukaran buat Nafuzi untuk memilih.
Apa yang pasti, TFC sudah melakukan penambahbaikan di bahagian serangan pasukan pada jendela perpindahan kali ini.
Semuanya bergantung kepada para pemain untuk membalas kepercayaan yang diberi Nafuzi di atas padang nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram