PASUKAN Liga Super dan Liga Premier dilihat rancak berbelanja dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Ada pasukan sudah melengkapkan perpindahan pemain dan ada juga yang masih memburu pemain baharu.
Sudah tentu, perebutan trofi dalam saingan Liga-M menjadi kian sengit, terutamanya melibatkan pencabar utama seperti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Terengganu FC (TFC) serta juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT).
Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, rancak berbelanja untuk mendapatkan pemain bukan jaminan pasukan tersebut boleh merampas atau mempertahankan trofi.
"Tetapi jika pasukan tidak berbelanja mendapatkan pemain, sudah pasti mereka lagi sukar mendapatkan trofi.
"Paling penting di sini adalah yang pertama, pasukan mesti berbelanja mengikut kemampuan kewangan yang mereka ada.
"Tidak perlu berbelanja besar mendapatkan pemain tempatan atau import tetapi akhirnya baru beberapa perlawanan, sudah timbul isu tunggakan gaji pemain dan mulalah pasukan menjadi huru-hara.
"Kedua, jika perlu berbelanja membeli pemain, perlu mendapatkan pemain tempata yang baik atau import mengikut posisi yang kritikal dan sangat diperlukan oleh pasukan," jelasnya kepada Majoriti.
Tambah Pekan, setiap pasukan perlu membuat kajian sebaik mungkin dan tidak sekadar membeli pemain berstatus 'tangkap muat' sehingga mengundang pembaziran dan dilepaskan pada pertengahan musim.
"Kalau boleh, belilah pemain yang usianya masih muda agar pemain tersebut dapat dikekalkan selama beberapa musim. Malah, jika pemain itu boleh diserapkan sebagai pemain naturalisasi, ia pasti akan 'menguntungkan' kuota untuk pemain import kelak," ujarnya.
Selain itu, Pekan berkata, semua pasukan perlu berhati-hati dengan pemain import yang kerap bermain di negara ini.
"Walaupun mereka mempunyai kelebihan kerana sudah memahami selok-belok dan budaya serta komunikasi, namun dari segi prestasi keseluruhannya, ia tidak banyak membantu.
"Dapatkan pemain import yang segar dan sangat dahagakan peluang untuk beraksi di sini," menurutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram