Fakri Saarani, prospek emas negara yang semakin dilupakan


  • Podium
  • Ahad, 09 Jan 2022

FAKRI Saarani (kiri) pernah membantu Harimau Malaya menjuarai Sukan SEA pada 2009 dan 2011. — The Star

PASUKAN berpangkalan di Kuala Kangsar, Perak iaitu Budak Rumah Murah FC (BRM FC) giat mendapatkan beberapa bekas pemain Liga Malaysia (Liga-M) dalam menghadapi saingan Liga M3 musim depan.

Antara nama yang dibawa masuk adalah bekas pemain Kelantan United, Fitri Omar dan bekas pertahanan kiri Kedah Darul Aman (KDA FC), Azmeer Yusof.

Salah seorang lagi pemain yang disebut-sebut bakal menyertai pasukan tersebut adalah anggota skuad emas Sukan SEA 2009 dan 2011 iaitu Ahmad Fakri Saarani.

Selepas beraksi bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) pada 2019, Ahmad Fakri seakan-akan 'hilang' daripada arena bola sepak tempatan.

Walaupun gagal mendapat tawaran daripada pasukan Liga Super, pemain berusia 33 tahun itu sebenarnya masih bermain bola sepak selepas kontraknya tamat bersama KL City.

Pada 2020, dia menyertai kelab Liga M3 Perlis iaitu Northern Lions FC namun keadaan Covid-19 menyebabkan dia tidak mendapat peluang beraksi bersama pasukan tersebut.

Tahun lalu, dia bermain bersama Kelana United FC dalam Liga Selangor dan tampil sebanyak empat kali. Sepanjang penampilannya, dia menjaringkan dua gol.

Fakri suatu masa dahulu pernah dianggap antara prospek skuad bola sepak kebangsaan serta turut diberi peluang beraksi bersama kelab divisyen dua Portugal iaitu Atletico S.C.

Namun sebaik sahaja balik dari Portugal, prestasi pemain kelahiran Kelantan itu dilihat kurang memuaskan.

Bagaimanapun, tidak mustahil untuk melihat Ahmad Fakri kembali beraksi di peringkat lebih tinggi sekiranya mampu membantu BRM FC layak ke Liga Premier musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram