KHABAR angin berhubung perpindahan bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin ke negeri kelahirannya, Perak pada musim depan sangat dinantikan oleh para peminat.
Sekiranya perpindahan itu berjaya direalisasikan, Indra Putra bakal kembali beraksi bersama Perak FC selepas 18 tahun meninggalkan pasukan tersebut.
Perak FC yang kini dibimbing oleh seorang lagi bekas pemainnya iaitu Yusri Che Lah berhasrat mahu menjadikan Indra Putra sebagai 'mentor' kepada para pemain lain dalam pasukan berkenaan musim depan.
Menyoroti kerjayanya bersama Perak, Indra Putra mula beraksi bersama akademi pasukan itu semenjak remaja. Dia kemudiannya dinaikkan ke dalam skuad utama pada 2002.
Indra Putra menjadi antara watak penting The Bos Gaurus apabila membantu pasukan itu menjuarai Liga Super pada 2002 dan 2003.
Bakal menginjak usia 41 tahun, wujud persoalan sama ada Indra Putra yang beraksi di posisi sayap dan penyerang masih mampu beraksi di peringkat tertinggi saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Daripada 22 perlawanan Liga Super musim lalu, Indra Putra beraksi 19 perlawanan bersama Kuala Lumpur City FC (KL City FC) namun sering dimasukkan sebagai pemain gantian.
Dia juga gagal menghadiahkan sebarang jaringan buat KL City sepanjang musim lalu.
Berkemungkinan kehadirannya ke Perak FC hanya sebagai 'mentor' kerana prestasi semasa Indra Putra tidak lagi seperti waktu kemuncaknya selain semakin dimamah usia.
Namun, kepimpinannya di dalam dan luar padang tentu ditagih oleh Yusri dalam memastikan pasukan tersebut merebut slot ke Liga Super pada 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram