MASA depan pemain sayap Melaka United, Sony Norde bersama kelab itu masih samar-samar selepas tiada khabar berita mengenai lanjutan kontraknya.
Rundingan mengenai gaji dilaporkan menjadi punca Norde, yang merupakan antara watak penting Melaka United di bahagian kiri pada musim lalu, masih belum mengikat kontrak baharu bersama skuad Hang Tuah.
Melaka United juga dijangka bakal mengumumkan kehadiran import baharu dari Ghana, Emmanuel Oti yang juga bermain di sayap kiri dalam masa terdekat.
Walaupun bakal membawa masuk Oti, pengurusan Melaka United difahamkan masih berharap Norde akan kekal di Stadium Hang Jebat pada musim depan.
Situasi itu membuatkan gergasi utara, Kedah Darul Aman (KDA) FC mengambil peluang untuk menyambar pemain sayap lincah kelahiran Haiti itu.
Kedah ketika ini masih belum menggantikan dua penyerang import berbisa mereka, Tchethce Kipre dan Kpah Sherman yang berhijrah ke Terengganu FC (TFC) Disember lalu.
Pengurusan Kedah dilaporkan bersetuju untuk membayar permintaan gaji yang diminta Norde dan sedang cuba memujuknya untuk berhijrah ke Stadium Darul Aman.
Ketika ini, hanya dua kuota import Kedah yang sudah terisi iaitu bek tengah Korea Selatan, Jang Suk-won yang dibawa masuk dari Melaka United dan bekas pemain tengah TFC, Dechi Marcel.
Selain Norde, beberapa nama lain turut dikaitkan dengan Kedah iaitu bekas bintang Liga Singapura, Stipe Plazibat; bekas pemain UiTM FC, Dennis Buschening dan penjaring terbanyak Liga Jordan, Ronald Ngah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram