JDT buru dua bintang berbisa Filipina


  • Podium
  • Khamis, 06 Jan 2022

MARANON memegang reputasi sebagai penjaring terbanyak Piala AFC sepanjang masa. — Facebook

JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dalam usaha memburu penyerang import baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh pemain Argentina, Gonzalo Cabrera.

Musim lalu, penyerang import JDT dari Brazil, Bergson da Silva memberikan impak positif kepada pasukan gergasi selatan tanah air itu apabila meledak 23 gol dan 3 bantuan hantaran dalam 20 penampilan Liga Super.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora sudah tentu mahu memperkemaskan lagi bahagian serangan pasukan itu selepas kecewa di final Piala Malaysia kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) musim lalu.

Pasukan itu difahamkan memburu penyerang kebangsaan Filipina iaitu Bienve Maranon.

Tambah menguatkan khabar angin tentang perpindahan itu apabila Maranon dilepaskan oleh kelab Filipina, United City FC.

Penyerang berusia 36 tahun itu menampilkan prestasi memberangsangkan bersama United City apabila meledak 65 gol dan 24 bantuan hantaran dalam 85 perlawanan.

Maranon juga menampilkan aksi bertenaga apabila menjaringkan empat gol dalam empat penampilan antarabangsa bersama Filipina.

Selain itu, Maranon turut memegang rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa Piala AFC selepas meledak 35 gol dalam 37 penampilan musim lalu.

Memiliki kepantasan dan bijak mencari peluang untuk menjaringkan gol merupakan aset bernilai bagi pasukan JDT jika berjaya mendapatkan khidmat Maranon.

Dalam pada itu, JDT turut berminat mendapatkan rakan senegara Maranon, Carli de Murga pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram