Tolak kelab Pantai Timur, Wan Zack sah ke utara tanah air


  • Podium
  • Khamis, 06 Jan 2022

WAN Zack dilepaskan Selangor FC selepas tiga musim.

BEKAS pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor kini semakin hampir berhijrah ke utara tanah air selepas dilepaskan Selangor FC.

Sepanjang tiga musim bersama Gergasi Merah Kuning itu, pemain berusia 30 tahun gagal menyerlah akibat kecederaan dan hanya beraksi 20 perlawanan serta menjaringkan satu gol.

Beliau sebelum ini difahamkan menjadi buruan Kelantan United bagi namun rundingan antara kedua-dua pihak gagal di pertengahan jalan.

Pemain yang pernah dianggap sebagai salah seorang prospek masa depan Harimau Malaya itu dilaporkan sudah bersetuju untuk menyertai Perak FC bagi saingan musim hadapan.

Kedua-dua pihak difahamkan sudah mencapai kata putus dan hanya menanti pengumuman oleh kelab.

Beliau yang boleh bermain di bahagian tengah dan serangan berjaya menarik minat ketua jurulatih baharu The Bos Gaurus, Yusri Che Lah.

Difahamkan, Yusri sudah mempunyai perancangan untuk menggandingkan Wan Zack dengan bekas pemain Perak FC yang kini merupakan ejen bebas, Nurridzuan Abu Hassan.

Nurridzuan yang sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dilaporkan bakal kembali ke Stadium Perak selepas dilepaskan Melaka United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram