Berapa gaji O'Donell di FAM?


  • Podium
  • Khamis, 06 Jan 2022

FAM mengumumkan pelantikan Pengarah Teknikal baharu FAM, Scott O'Donell. — Bernama

MASA depan bola sepak Malaysia seolah-olah semakin samar dengan pencapaian dan perkembangan terbaharu sukan popular tanah air itu sejak kebelakangan ini.

Belum pun reda kekecewaan penyokong terhadap prestasi Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF Suzuki di Singapura baru-baru ini, peminat dikejutkan pula dengan berita peletakan jawatan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.

Mungkin ada penyokong yang bergembira dengan tindakan Cheng Hoe itu tetapi rata-rata masih bimbangkan soal pembangunan bola sepak negara yang dilihat semakin hilang arah.

Terbaharu, FAM mengumumkan pelantikan Pengarah Teknikal baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O'Donell berdasarkan pengalaman dan pencapaiannya.

Belum pun sehari selepas dilantik, O'Donell sudah mencadangkan agar jurulatih asing dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Cadangannya itu mungkin mencetuskan polemik berhubung isu gaji yang perlu ditampung FAM jika melantik jurulatih asing.

Sebelum ini, B. Sathianatan membangkitkan isu bayaran gaji ketua jurulatih import bagi mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Sebagai contoh kata Sathianathan, Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) menanggung separuh gaji ketua jurulatih Vietnam Park Hang-seo yang menerima kira-kira RM230,000 sebulan.

Mengulas lanjut tentang gaji, bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim sebelum ini pernah mendedahkan bahawa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyalurkan dana sebanyak AS$50,000 (RM210,000) sebagai bayaran gaji kepada Pengarah Teknikal FAM.

"FIFA bagi peruntukan gaji Pengarah Teknikal AS$50,000 sebulan. Jadi kenapa nak membazir bayar orang luar?" katanya seperti dilaporkan Majoriti sebelum ini.

Teong Kim juga pernah menyuarakan kebimbangan tentang sikap 'orang luar' yang mungkin tidak peduli dengan masa depan bola sepak Malaysia, lebih-lebih lagi tidak diberi kuasa untuk membuat keputusan penting.

Beliau berkata, situasi yang sama juga berlaku kepada bekas Pengarah Teknikal FAM Peter de Roo yang tidak diberikan ruang untuk membuat keputusan penting.

"Mereka bukan peduli pasal bola sepak Malaysia. Itu yang berlaku apabila lantik Peter. Dia tak boleh buat keputusan dan akhirnya dia habiskan masa main golf," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram