NASIB Tan Cheng Hoe bersama skuad Harimau Malaya dilihat masih samar walaupun difahamkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai pelan untuk memecatnya.
Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar baru-baru ini menjawab persoalan sama ada badan bola sepak negara itu akan menggantikan Cheng Hoe.
"Perkara biasa pengurusan skuad negara mengadakan post mortem bagi setiap tugasan antarabangsa.
"Tiada pelan untuk memecat Cheng Hoe yang masih berbaki setahun lagi kontrak," katanya seperti dilaporkan media tempatan baru-baru ini.
FAM menerima desakan penyokong yang mahu Cheng Hoe digantikan dengan jurulatih lain susulan kegagalannya dalam kempen Piala AFF Suzuki 2021 yang menyaksikan Malaysia gagal mara ke separuh akhir.
Mengulas tentang nasib Cheng Hoe, 'rakan' lamanya di Kedah tampil memberi sokongan kepada bekas pengendali skuad Hijau Kuning itu.
Ramon Marcote yang kini membimbing skuad remaja Arab Saudi, Al Hilal, berkata Cheng Hoe sudah melakukan tugas yang baik sejak bersama FAM.
Bekas jurulatih kelab Sepanyol, Altetico Madrid B itu juga berkata sukar untuk menjangkakan keputusan yang boleh dicapai oleh skuad negara.
"Saya berasa sedih melihat Cheng Hoe menerima kritikan yang teruk.
"Saya berharap semua orang terutamanya penyokong terus memberi kepercayaan kepada Cheng Hoe dan memberinya peluang untuk membangunkan skuad negara," katanya kepada Majoriti.
Ramon pernah berkhidmat bersama Cheng Hoe ketika membimbing Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015.
Malah Cheng Hoe pernah memberi kepercayaan kepada Ramon untuk memangku posisi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning semasa beliau menyertai kursus kejurulatihan profesional bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Pada penghujung tahun 2017, Marcote secara rasminya dilantik menjadi ketua jurulatih Kedah yang kini dikenali sebagai Kedah Darul Aman selepas Cheng Hoe dipanggil untuk membimbing skuad Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram