CRISTIANO Ronaldo sedia meninggalkan Manchester United jika dia tidak meminati bakal pengurus tetap kelab itu.
Pemain berusia 36 tahun itu baru lima bulan bersama United sejak kepulangannya ke Old Trafford.
Namun Ronaldo yang mempamerkan aksi cemerlang dengan 14 gol daripada 21 perlawanan, sedia meninggalkan United sekali lagi jika dia tidak berkenan dengan pemilihan pengurus baharu kelab tersebut.
United kini dibimbing oleh pengurus sementara, Ralf Rangnick.
Malah difahamkan, Ronaldo juga tidak berminat untuk kekal di United jika Rangnick kekal sebagai pengurus tetap.
Spekulasi itu mengukuhkan lagi laporan tergempar sebelum ini yang menyatakan 11 pemain kelab itu sedia mengangkat kaki kerana tidak gembira dengan Rangnick.
Antara nama yang menjadi sebutan untuk mengendalikan United secara tetap termasuk Mauricio Pochettino, Erik Ten Hag dan Brendan Rodgers. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram