11 bintang 'benci' Rangnick, ugut tinggalkan Man United


  • Podium
  • Rabu, 05 Jan 2022

RALF Rangnick perlu lakukan sesuatu untuk memperbaiki prestasi skuadnya. — Agensi
HANYA sekadar mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas kelab yang tercorot iaitu Norwich dan sekadar seri 1-1 dengan kelab yang kini diancam penyingkiran, Newcastle United, tiada sebarang peningkatan dicatatkan oleh Manchester United (Man U).

Kehadiran Ralf Rangnick pula yang sebelum ini menjanjikan kejayaan buat Man U nampaknya terus kelam. Bukan sahaja prestasi, hubungan Rangnick sesama pemain juga nampaknya terus menjadi isu walaupun baru sebulan dia menjadi pengurus pasukan.

Kini, sebanyak 11 orang pemain Man U berada dalam keadaan yang kecewa dan dikhabarkan sedang mencari jalan keluar dari kelab itu.

Sama seperti di era Solskjaer, pemain seperti Jesse Lingard, Donny van de Beek, Eric Bailly dan Dean Henderson terus diabaikan.

Itu yang membuatkan rasa tidak puas hati semakin meluap sehingga menyebabkan berlakunya insiden di bilik persalinan.

Untuk rekod, Lingard dan Van de Beek setakat ini masih belum memulakan perlawanan musim ini dan tidak bermain sejak awal Disember.

Rangnick pula tidak mahu melepaskan Henderson secara pinjaman pada Januari walaupun pemain berusia 24 tahun itu hanya membuat satu penampilan sepanjang musim ini.

Sementara itu, bek kiri Luke Shaw selepas kekalahan Man U kepada Wolves berkata, mereka mungkin bergelut pada malam itu tetapi itu bukanlah buktinya hanya pemain yang bermasalah.

"Lihat pada pemain yang ada, semua mempunyai kualiti yang luar biasa tetapi kadangkala kita harus tahu yang kualiti sahaja tidak mencukupi," katanya.

Mirror juga melaporkan yang beberapa pemain tidak berpuas hati dengan taktik Rangnick serta kualiti kejurulatihan lelaki itu bersama pembantunya.

Sementara itu, keputusan Rangnick untuk membatalkan hari cuti dan menjadualkan semula sesi latihan di sebelah petang juga membuatkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain.

Rangnick diharap dapat menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi secepat mungkin apatah lagi dengan perlawanan pasukan itu pada 10 Januari depan berdepan Aston Villa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram