Bakal ke JDT, Fernando sekampung Messi, pernah diburu Liverpool


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jan 2022

FORESTIERI pernah diburu gergasi EPL, Liverpool. β€” Agensi

PASUKAN Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) sedang giat memburu beberapa pemain import bagi memperkuat pasukan untuk menghadapi saingan musim depan.

Selepas kehilangan penyerang Argentina, Gonzalo Cabrera yang dilepaskan Disember lalu, juara Liga Super itu dilaporkan sedang giat memburu bekas pemain Serie A.

JDT dilaporkan mahu meneruskan legasi penyerang Argentina di kelab itu selepas kejayaan Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz serta Cabrera.

Menurut laporan, bekas pemain Udinese, Fernando Forestieri sedang dirisik oleh kelab bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cabrera.

Pemain berusia 31 tahun itu kini merupakan ejen bebas selepas dilepaskan kelabnya pada hujung tahun lalu.

Pemain itu difahamkan sudah bersetuju untuk bersama Harimau Selatan dan perbincangan sedang dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak.

Selain Serie A, pemain yang pernah menarik perhatian gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool itu juga pernah beraksi di England dan Sepanyol.

Forestieri dilahirkan di Rosario, Santa Fe, sama seperti bintang Paris Saint Germain, Lionel Messi.

Malah, beliau memulakan karier remajanya di kelab yang sama seperti pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu, iaitu di Newell's Old Boys.

Beliau pernah mencipta kontroversi apabila dituduh mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dan ugutan terhadap Krystian Pearce dalam perlawanan persahabatan pramusim.

Akibat insiden itu, Forestieri didakwa oleh polis, dan pada 28 Disember 2018, waran tangkap ke atasnya dikeluarkan selepas gagal hadir ke mahkamah.

Beliau didapati tidak bersalah oleh mahkamah pada Mac 2019, namun FA England menggantung Forestieri selama enam perlawanan kerana mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman. β€” Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram