Hodak tidak akan campur hal politik dan bola sepak


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jan 2022

HODAK berkata isu jadual perlawanan perlu diselesaikan jika mahu melihat pasukan kebangsaan beraksi lebih baik.

JIKA pemain Croatia Bojan Hodak diberi mandat untuk melatih pasukan kebangsaan, dia tidak akan mencampuradukkan hal bola sepak dan politik.

Hodak merupakan salah seorang jurulatih asing yang dilihat sebagai calon teratas untuk menggantikan Tan Cheng Hoe.

Hodak mempunyai kelayakan yang baik, setelah mengemudi Kuala Lumpur menjuarai Piala Malaysia bulan lalu dan memenangi kejuaraan remaja AFF 2018 semasa dia menjadi jurulatih kebangsaan Bawah 19 tahun dari 2017-2019.

Namun, skuadnya tersingkir pada peringkat kumpulan kejohanan AFC Bawah 19 tahun 2018.

Meskipun kalah, dia tidak memberi alasan, sebaliknya memberitahu bahawa pemainnya tidak bersedia untuk Piala Dunia Bawah 20 tahun.

Cara Hodak yang tegas memberi pendapat tidak menyenangkan beberapa pihak, tetapi dia tetap tenang menghadapinya.

"Sesetengah orang tidak menyukai pendapat saya, tetapi saya bukan ahli politik. Saya sentiasa berterus terang (dalam memberi pendapat). Saya sentiasa berusaha untuk mencapai sasaran yang diberikan,” kata jurulatih berusia 54 tahun itu.

"Saya telah melakukannya dengan cara saya kerana ia sentiasa membawa hasil, sama ada di sini atau di luar Malaysia."

Hodak berkata isu jadual perlawanan perlu diselesaikan jika mahu melihat pasukan kebangsaan beraksi dengan lebih baik.

Tahun lalu, jadual perlawanan Harimau Malaya terjejas akibat pandemik Covid-19, menyebabkan pasukan kebangsaan terlepas beberapa kejohanan FIFA.

“Pemain memerlukan perlawanan kompetitif. Tahun ini, JDT akan beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC manakala Kedah dan Kuala Lumpur akan beraksi dalam Piala AFC.

“Bermain perlawanan ini akan meningkatkan standard kami.

“Kedudukan Liga Super semakin baik, jadi saya menjangkakan saingan akan lebih sengit tahun ini.

"Setiap jurulatih akan mempunyai visi dan rancangan yang berbeza dan ia sama dengan saya." katanya.

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu dilantik Scott O’Donell memberi bayangan bahawa jurulatih asing mungkin dilantik untuk mengetuai pasukan kebangsaan kerana beliau merasakan ia akan memberi manfaat kepada pasukan.

Jurulatih bawah 22 tahun negara, Brad Maloney antara disebut-sebut untuk mengisi kekosongan itu dan difahamkan FAM akan mendedahkan jurulatih baharu pada bulan depan, dengan beberapa calon dari Sepanyol, Korea Selatan dan Jepun berada dalam senarai. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram