Bekas kapten Kedah dalam perjalanan ke kelab Pantai Timur


  • Podium
  • Rabu, 05 Jan 2022

PEMAIN berusia 34 tahun itu habiskan perjalanan kariernya bersama pasukan Kedah Darul Aman FC sebelum buat keputusan sertai pasukan Melaka United pada tahun lalu.

BEKAS kapten skuad Hijau Kuning, Khairul Helmi Johari difahamkan tidak lagi bersama Melaka United bagi musim depan selepas dikhabarkan bakal menyarung jersi pasukan bola sepak Kelantan FC, The Red Warriors (TRW).

Bekas pertahanan pasukan Kedah itu merupakan antara salah seorang pemain yang menjadi tunjang pasukan sehingga berjaya membawa Melaka United ke separuh akhir Piala Malaysia pada musim lalu.

Berita itu dikongsi pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam menerusi laman media sosial Twitternya. Selain Khairul, Ahmad Solehin Mamat serta Jasmir Mehat juga disebut-sebut akan menyertai TRW.

zulhelmi

TANGKAP layar ciapan Zulhelmi

Khabar perpindahan itu turut disahkan melalui pengumuman pasukan pantai timur itu di laman Facebook pada petang Rabu dan peminat bola sepak Kelantan FC mengalu-alukan Khairul Helmi.

"Zubir dan Khairul Helmi memang orang lama yang boleh bimbing pemain muda," kata pengguna Facebook, Affenddy Mohamad di siaran langsung TRW Kelantan FC.

"Khairul helmi patut jadi kapten sebab dia bekas kapten paling lama dalam Kedah," komen Wan Ashraff Adryan.

Terdahulu, pada Sabtu, beliau sempat memuat naik satu hantaran semula daripada hantaran di laman rasmi pasukan Melaka United sambil menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui tentang keputusan tersebut.

"Nasib follow Facebook dan Instagram. Tidak tahu pula. Terima kasih semua dan sehingga kita berjumpa lagi," katanya di hantaran itu.

Hantaran beliau mendapat reaksi yang pelbagai daripada para penyokong yang mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau untuk meneruskan karier beliau dalam arena bola sepak tempatan.

Pemain berusia 34 tahun itu menghabiskan perjalanan kariernya bersama pasukan Kedah Darul Aman FC sebelum membuat keputusan untuk menyertai pasukan Melaka United pada tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kedah FC, TRW, Khairul Helmi, Melaka United