'Dia miliki personaliti sempurna pimpin pasukan negara'


  • Podium
  • Selasa, 04 Jan 2022

Ramon pernah berbakti bersama Kedah selama empat tahun.

BERITA peletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya seperti sudah dijangka susulan prestasi hambar skuad negara pada kempen Piala AFF Suzuki di Singapura.

Cheng Hoe gagal membawa skuad negara sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan untuk melangkah ke separuh akhir selepas tewas kepada Vietnam dan Indonesia.

Mengulas tentang tindakan bekas pengendali Kedah itu, Ramon Marcote percaya Cheng Hoe membuat keputusan itu yang dirasakan terbaik buat dirinya dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya amat sedih dengannya. Cheng Hoe merupakan individu dan jurulatih yang hebat.

"Bagi saya, Cheng Hoe merupakan jurulatih terbaik buat skuad Harimau Malaya," katanya kepada Majoriti, mengulas tentang pengganti yang sesuai.

Ramon berkata, Cheng Hoe layak untuk kekal dengan jawatan itu kerana beliau lebih mengetahui FAM berbanding orang lain.

"Cheng Hoe juga mengenali pemain tempatan dengan baik dan mempunyai personaliti yang sempurna memimpin sebuah pasukan negara.

"Apa pun, saya harapkan yang terbaik untuk masa depan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia," katanya.

Ramon pernah berbakti bersama Kedah selama empat tahun sebagai pembantu pengurus dan pengurus antara musim 2014 hingga 2018.

Beliau memiliki pengalaman sebagai jurulatih kecergasan untuk kelab Sepanyol, Altetico Madrid B dan kini merupakan ketua jurulatih skuad remaja Arab Saudi, Al Hilal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram