Bojan layak ganti TCH tapi dia ada satu masalah — Jamal Nasir


  • Podium
  • Selasa, 04 Jan 2022

HODAK pernah mengendalikan skuad B-19 negara pada 2017 hingga 2019.

KETUA jurulatih skuad kebangsaan seterusnya harus mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang budaya bola sepak negara dan mempunyai keazaman untuk mengubah sikap pemain negara.

Legenda Harimau Malaya, Datuk Jamal Nasir berpendapat, ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak merupakan individu yang layak menggantikan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

"Jika dilihat, beliau adalah salah seorang jurulatih luar ketika ini yang tahu budaya bola sepak dan kenal pemain-pemain tempatan.

"Tapi Bojan Hodak ni satu saja, beliau ni suka salahkan orang lain bila kalah. Benda macam ni tak bagus untuk FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kerana ia akan merosakkan keharmonian.

"Sepatutnya sebagai seorang jurulatih, kita lakukan saja tugas kita dan ambil tanggungjawab apabila pasukan tewas," katanya kepada Majoriti.

Beliau memberi contoh ketika Hodak mengkritik sistem bola sepak negara selepas skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara kendaliannya tewas di peringkat kumpulan Kejohanan Piala Sanix di Jepun pada 2019.

Menurut Jamal, perkara itu menyebabkan kontrak jurulatih yang berasal dari Croatia itu tidak disambung FAM.

Mengulas lanjut, katanya, FAM tidak mempunyai masa yang panjang untuk memilih calon pengganti Cheng Hoe memandangkan skuad negara akan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023.

Beliau berpendapat, selepas peletakan jawatan Cheng Hoe, jurulatih tempatan tidak berani untuk mengambil cabaran itu disebabkan harapan tinggi yang diletakkan penyokong bola sepak tempatan.

Sebaliknya, jika FAM berhasrat untuk melantik jurulatih luar, Jamal bimbang individu berkenaan tidak mempunyai masa untuk mengenali pemain-pemain negara.

"Pada saya, Cheng Hoe sepatutnya tunggu dahulu sehingga tugasan beliau bersama skuad kebangsaan tamat. Kalau nak berundur selepas itu, ikut sukalah," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi markah 6/10 kepada Cheng Hoe sepanjang mengendalikan skuad kebangsaan dan menyifatkan beliau berjaya membawa perubahan dalam skuad negara walaupun 'tangannya terikat'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram