PENYERANG kelab Chittagong Abahi, Nixon Guylherme yang berasal dari Brazil semakin hampir menyarung jersi Kelantan FC bagi menghadapi saingan Liga Premier musim ini.
Pemilik pasukan Kelantan FC Norizam Tukiman berkata, rundingan antara The Red Warriors (TRW) dengan penyerang berusia 26 tahun yang bermain dalam Liga Perdana Bangladesh itu sudah hampir termeterai.
"Beliau merupakan penjaring terbanyak dengan kelabnya sekarang, perbincangan sudah dilakukan dan kemungkinan besar beliau akan bermain dengan Kelantan FC musim ini.
"Pengumuman rasmi barisan pemain import akan dibuat bersama-sama dengan tiga pemain import lain dalam masa terdekat, yang pasti kesemua pemain import yang memperkuatkan TRW musim ini adalah pemain kebangsaan di negara masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tandatangan Pemain Kelantan FC di Kuala Lumpur pada Rabu.
Selain diperkuatkan dengan majoriti pemain muda, skuad TRW musim ini juga mempertaruhkan bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khairul Helmi Johari selain mengekalkan pemain berpengalaman Zubir Azmi dan penjaring terbanyak tempatan Liga Premier musim lepas, Nursyamil Abd Ghani.
Mengenai sasaran musim ini, Norizam berkata, beliau meletakkan sasaran sekurang-kurangnya kedudukan tempat kedua dalam Liga Premier, sekali gus membolehkan pasukannya itu layak bermain dalam Liga Super pada 2023.
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan FC Rezal Zambery Yahya berkata, kesemua bakal pemain import TRW kali ini adalah posisi penyerang dan tengah.
"Kita menaruh kepercayaan kepada pemain tempatan sepenuhnya pada bahagian pertahanan bagi mengharungi sepanjang musim ini,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram