Tujuh calon sesuai ganti Hamidin


  • Podium
  • Ahad, 02 Jan 2022

PENYOKONG bola sepak tempatan berpendapat Hamidin sebagai penyebab utama kejatuhan Harimau Malaya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. — Bernama

SELEPAS kekalahan 1-4 di tangan Indonesia yang menyaksikan skuad Harimau Malaya pulang awal daripada kejohanan Piala AFF Suzuki 2020, muncul suara daripada sebahagian besar peminat bola sepak tempatan supaya Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berundur daripada jawatannya.

Hamidin, yang memegang tampuk tertinggi badan induk bola sepak negara itu didakwa oleh para peminat sebagai salah satu punca persembahan hambar pemain negara pada kejohanan dwitahunan itu.

Bukan itu sahaja, ramai yang berpendapat bahawa beliau serta 'orang-orang kuat' dalam FAM menjadi penyebab utama kejatuhan Harimau Malaya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Mac lalu, Hamidin berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden FAM untuk penggal 2021-2025, yang juga penggal keduanya selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57.

Namun, tidak mustahil kuasa penyokong fanatik bola sepak tempatan boleh menyebabkan beliau berundur daripada jawatan tersebut.

Jika Hamidin berundur, calon yang dipilih untuk menggantikannya haruslah mempunyai latar belakang cemerlang yang dipercayai mampu merubah Harimau Malaya menjadi pasukan yang digeruni bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi juga di peringkat Asia.

Kriteria

Untuk menggalas tugas Presiden FAM, pengganti yang layak setidak-tidaknya perlu mempunyai tiga kriteria wajib ini bagi melonjakkan semula nama Harimau Malaya sebagai pasukan yang digeruni di rantau Asia Tenggara sebagai permulaan.

Kewangan

Sumber kewangan merupakan antara faktor terpenting bagi seorang Presiden FAM supaya beliau tidak dibelenggu dengan isu atau masalah yang melibatkan wang ketika memegang jawatan.

Malah dengan miliki status sebagai jutawan atau hartawan, sekurang-kurangnya tidak membuatkan Presiden untuk membuat 'duit tepi' kerana dirinya sendiri sudah berharta.

Kekayaan yang dimiliki Presiden juga sedikit sebanyak dapat membantu FAM untuk melakukan pelaburan yang drastik untuk memajukan bola sepak negara seperti menggaji pegawai dan staf kejurulatihan yang berkualiti.

Pengetahuan

Seorang presiden juga harus memiliki pengetahuan yang tinggi tentang bola sepak semasa agar mempunyai idea yang bernas untuk membangunkan kembali martabat sukan nombor satu negara itu.

Ini kerana pengetahuan luas dalam bola sepak pasti akan membantu Presiden untuk menetapkan visi dan misi terutamanya dalam pembangunan bola sepak negara serta dapat membuat keputusan-keputusan yang tepat.

Pencapaian

Selain itu, Presiden perlu mempunyai pencapaian yang baik sama ada di peringkat kelab atau sesebuah pasukan kerana ia akan memberi kelebihan buat pasukan negara kerana beliau tahu resipi kejayaan dalam menguruskan sebuah pasukan.

Tiga ciri ini menjadi resepi buat pasukan jiran, Thailand yang melantik Nualphan Lamsam atau lebih dikenali sebagai Madam Phang sebagai pengurus skuad Gajah Putih pada kempen Piala AFF kali ini.

Meskipun sekadar bergelar pengurus, tetapi gaya kepimpinan dan pengurusannya ternyata mendapat pujian ramai pemerhati.

Dengan status sebagai ahli perniagaan bertaraf bilionaire, Madam Phang bukanlah seorang individu yang asing di dalam arena bola sepak Thailand.

Beliau merupakan pengerusi Kelab Bola Sepak Port FC yang menduduki tempat ketiga musim lalu dalam Liga Thai 1.

Namanya mulai dikenali di dalam bola sepak Thailand selepas pasukan negara itu memenangi pingat emas Sukan SEA 2013.

Pada 2015, beliau juga berperanan membawa skuad wanita Thailand ke Piala Dunia Wanita 2015.

Lebih penting lagi, dengan status dan pencapaiannya itu, Madam Phang mempunyai hubungan yang baik dengan kelab-kelab untuk mendapatkan khidmat pemain.

Berdasarkan ciri-ciri tersebut dan contoh di atas, berikut adalah tujuh calon yang dilihat layak untuk duduk di kerusi tertinggi FAM bagi mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara:

Screenshot 2022-01-02 at 12.27.38 AM

1. Tengku Amir Shah

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah merupakan pengerusi Selangor FC sejak 2018 apabila mengambil alih jawatan daripada Datuk Seri Subahan Kamal.

Sejak Tengku Amir Shah mengambil alih jawatan Pengerusi Selangor FC pada 2018, pelbagai usaha dilakukan untuk menambah baik pasukan bagi mengembalikan reputasi kelab sebagai gergasi bola sepak Malaysia.

Di bawah kepimpinannya, Selangor FC mengalami beberapa transformasi seperti pengenalan kad keahlian pasukan dan pas bermusim kepada penyokong kelab pada 2019. Pada 24 Julai 2019, baginda melancarkan pembukaan pusat latihan dan kompleks pejabat baharu, bertempat di Kompleks Sukan SUK, Seksyen 5, Shah Alam.

Baginda turut melancarkan program FAS Soccer School pada 29 September 2019 bagi menyediakan perkhidmatan jurulatih mahir, kursus kejurulatihan, peralatan bola sepak dan peluang permainan kepada pelajar dari lima buah sekolah rendah di Selangor.

Daripada usaha ini, dapat dilihat Tengku Amir mempunyai visi untuk melaksanakan pembangunan bola sepak Selangor di peringkat akar umbi. Maka tidak hairanlah, Selangor sehingga kini masih merupakan 'kilang' yang mampu melahirkan pemain-pemain berbakat.

Tunku Ismail akan bertemu dengan guru-guru yang menolak vaksin Covid-19, Jumaat ini.

2. Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Tidak dapat dinafikan bahawa sejak Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih Johor Darul Ta'zim, baginda bukan sahaja merubah kelab tersebut tetapi juga lanskap bola sepak negara secara keseluruhan.

Kejayaannya baginda memegang JDT tidak boleh disangkal lagi apabila kelab yang berpangkalan di Johor Bahru itu kini dianggap sebagai kelab terbaik di Malaysia.

Buktinya, JDT merekodkan 18 piala dalam tempoh lapan tahun termasuk kejuaraan liga sebanyak lapan kali berturut-turut dari 2014 higga 2021.

Selain itu, di peringkat antarabangsa, JDT juga pernah memenangi Piala AFC pada 2015

Tunku Ismail sebelum ini pernah dipilih sebagai Presiden FAM pada 2017 tetapi jodoh bersama badan tersebut tidak panjang apabila baginda meletak jawatan pada 2018.

Tetapi tidak mustahil Tunku Ismail akan sekali lagi memegang tampuk kepimpinan FAM jika mendapat sokongan padu daripada peminat.

553

3. Datuk Jeffery Low Han Chow

Nama beliau sudah tidak asing lagi dalam pembangunan bola sepak Kedah dan boleh dianggap sebagai antara individu yang menjadi pencetus kepada kebangkitan bola sepak Kedah.

Beliau pernah menjadi Pengurus Kedah FA (KFA) pada tahun 2012 hingga 2018 dan dalam masa yang sama, beliau juga merupakan Naib Presiden KFA selama 2 penggal iaitu pada 2010-2014 dan 2014-2018.

Sepanjang beliau memegang jawatan, skuad Lang Merah memenangi empat piala iaitu trofi Liga Premier pada 2015, Piala Malaysia (2016), serta Piala Sumbangsih dan Piala FA (2017).

Ketika ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perubatan & Sains Sukan dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

Di luar arena bola sepak, beliau merupakan pengasas dan pengerusi syarikat hartanah, UIS Property.

Businessman Tan Sri Vincent Tan (file pic) wants to push his ambition of making homes possible to the low-income group as the size of the B40 group has reportedly grown to become B50 now.

4. Tan Sri Vincent Tan

Pemilik Berjaya Corporation Berhad ini sememangnya nama yang tidak asing lagi dalam dunia bola sepak antarabangsa dan merupakan pemilik Cardiff City, FK Sarajevo dan KV Kortrijk.

Minat beliau dalam bola sepak serta keberaniannya dalam membangunkan kelab bola sepak yang dimilikinya pastinya memberi manfaat kepada pasukan bola sepak negara jika beliau menjadi presiden FAM.

Pelaburan yang beliau bawa dalam Cardiff City membolehkan kelab itu beberapa kali dinaikkan pangkat ke Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun tidak kekal.

5. Tan Sri Tony Fernandes

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad ini merupakan salah seorang pemegang saham kelab England, Queens Park Rangers. Di dalam negara, beliau turut melabur dalam kelab Petaling Jaya Rangers FC.

Beliau juga pernah menyatakan minatnya untuk menjadi presiden FAM dalam satu temu bual pada 2016.

Antara kualiti yang ada pada Fernandes adalah sifat patriotik dan semangat yang ditunjukkan kepada bola sepak negara.

Pada kejohanan Piala AFF 2018, beliau pernah mengatur penerbangan sewa khas dengan kadar tambang yang rendah, untuk membawa penyokong Malaysia ke perlawanan separuh akhir timbal balik.

Sikap tersebut pastinya memberi manfaat kepada pasukan Harimau Malaya jika beliau diberi peluang menerajui badan induk itu.

6. Datuk Seri Shahidan Kassim

Bekas Menteri Besar Perlis ini merupakan salah seorang individu yang penting ketika era kegemilangan Perlis FA.

Di bawah pimpinannya selaku presiden pada 1998 hingga 2012, Perlis FA berjaya merangkul sejumlah kejuaraan iaitu Juara Piala Malaysia 2004 dan 2006, Juara Liga Super 2005 dan Juara Piala Sumbangsih 2007 dan 2008.

Selain itu, Perlis juga layak ke kejohanan Piala AFC pada 2006 ketika beliau mengepalai Perlis FA.

7. Tan Sri Annuar Musa

Pengalaman Annuar dalam dunia bola sepak tidak perlu disangkal lagi kerana beliau pernah menjadi Presiden Kelantan FA pada 2009 hingga 2016 dan kini merupakan presiden juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC.

Era kegemilangan Kelantan FA juga tiba ketika beliau menjadi presiden termasuk kejayaan treble memenangi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA pada 2012.

Selain itu, Kelantan juga memenangi Liga Super dan Piala Sumbangsih pada 2011, Piala Malaysia (2010) dan Piala FA (2013) ketika beliau menjadi presiden.

Pada 2018, beliau pernah dicalonkan untuk jawatan presiden FAM, namun memilih untuk menarik diri daripada bertanding. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram