Hodak dapat 'lampu hijau', jadi bos Harimau Malaya


  • Podium
  • Khamis, 06 Jan 2022

HODAK meraikan kejayaan KL City FC menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan JDT pada 30 November lalu. — Bernama

KETUA Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak sebelum ini mengakui beliau tidak terkejut namanya dikaitkan sebagai pengganti Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan pada Isnin.

Jurulatih berusia 50 tahun itu merupakan antara individu yang disegani dalam arena bola sepak Malaysia kerana kejayaannya bersama beberapa kelab tempatan.

Bersama Kelantan FA, beliau memenangi Liga Super pada 2012 dan Piala FA dua kali pada 2012 dan 2013.

Kemudian, beliau menyertai Johor Darul Takzim (JDT) dan membawa Harimau Selatan memenangi Liga Super 2014 dan Piala Sumbangsih pada tahun berikutnya.

Jurulatih kelahiran Croatia itu juga mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pasukan kebangsaan.

Beliau merupakan ketua jurulatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Malaysia dari 2017 hingga 2019 dan pernah membawa anak buahnya memenangi Kejohanan Remaja Bawah 19 AFF pada 2018.

Tahun lalu, beliau mengemudi pasukan KL City FC yang dianggap 'underdog' menewaskan barisan bintang JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

Rata-rata peminat bola sepak tempatan juga bersetuju bahawa Hodak adalah orang yang tepat untuk memimpin Harimau Malaya disebabkan pengetahuannya tentang bola sepak Malaysia dan pemain tempatan.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard berkata, pihaknya tidak akan menghalang Hodak jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memerlukan khidmat jurulatih itu.

“Ia bukan perbualan yang berlaku semata-mata hari ini. Ketika saya bermain di bawahnya, kami pernah bercakap mengenai perkara ini. Sebagai jurulatih, beliau bercita-cita tinggi dan mempunyai sasaran.

“Kecintaannya terhadap negara ini sangat besar. Isterinya orang Malaysia, jadi ini adalah rumah untuknya.

“Jika ada peluang untuk melatih Malaysia, dia pasti akan mempertimbangkannya.

“Buat masa ini, tumpuannya adalah kepada Kuala Lumpur. Tetapi jika panggilan itu datang, kami akan menyokongnya. Saya adalah rakyat Malaysia dahulu sebelum apa-apa,” kata Bernard.

Jika Hodak berpindah, Bernard berkata, pihaknya bersedia menaikkan pangkat pembantu Hodak yang juga rakan senegaranya, Nenad Bacina. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram