Henti budaya desak jurulatih berundur setiap kali tewas — Legenda HM


  • Podium
  • Selasa, 04 Jan 2022

CHENG Hoe meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Isnin. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

PENYOKONG bola sepak negara dinasihatkan supaya menghentikan budaya mendesak pihak tertentu berundur atau dipecat setiap kali Harimau Malaya gagal mempamerkan aksi yang baik.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir berpendapat, budaya tersebut adalah tidak baik untuk perkembangan bola sepak negara dan hanya akan membantutkan prestasi skuad kebangsaan.

"Jika ramai lagi yang letak jawatan, adakah kita boleh tubuhkan sebuah pasukan yang berjaya dalam sekelip mata?

"Kalau setiap kali kalah terus nak buang, kitaran itu akan berterusan sampai bila-bila dan lama-lama tiada siapa yang mahu memegang skuad negara," katanya kepada Majoriti.

Katanya, penyokong harus berjiwa besar dan sentiasa berfikiran positif, bukan menghamburkan kritikan yang tidak membina kepada skuad negara.

Jelasnya, setiap kegagalan harus dilihat dari sudut positif supaya bola sepak negara sentiasa berkembang.

"Apabila kita gagal, ia bermakna ada kelemahan yang kita perlu atasi dan perbaiki. Tiada pihak yang nak gagal sama ada jurulatih, para pemain atau pegawai pasukan.

"Kalau hari-hari asyik kritik dan hentam sahaja, kemudian desak semua pihak untuk berundur, lama-lama bola sepak kita akan bungkus.

"Mungkin tekanan yang dirasai Tan Cheng Hoe inilah yang membuatkan beliau mengambil keputusan untuk berundur," katanya.

Dalam pada itu, Jamal berkata, peletakan jawatan Cheng Hoe pada Isnin bakal menyukarkan FAM untuk mencari pengganti yang sesuai di kala skuad negara sedang membuat persiapan bagi aksi kelayakan pusingan ketiga Piala Asia pada Jun.

"Sepatutnya beliau tunggu tugasan beliau bersama Harimau Malaya tamat pada hujung tahun ini. Kalau lepas tu beliau nak berundur juga, ikut sukalah.

"Tetapi memandangkan kedua-dua pihak sudah bersetuju dengan perletakan jawatan itu, FAM terpaksalah cari pengganti beliau," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram