Cheng Hoe sah letak jawatan


  • Podium
  • Isnin, 03 Jan 2022

Cheng Hoe menyatakan hasratnya itu berikutan kegagalan ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM), pada Isnin memaklumkan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya.

Pengumuman itu disiarkan di laman media sosial FAM, yang mengatakan Cheng Hoe menyatakan hasratnya itu berikutan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini.

Selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

Terdahulu, segelintir pihak dan peminat bola sepak tanah air mengkritik kejurulatihan Cheng Hoe dalam memimpin Harimau Malaya termasuklah jurulatih legenda, Mohd Azraai Khor Abdullah yang mengatakan Cheng Hoe gagal untuk mencapai KPI (petunjuk prestasi utama) yang diletakkan padanya dan baginya berundur adalah jawapan untuk kegagalan jurulatih itu.

Dalam pada itu, dalam hantarannya, FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang mana telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM, bermula dari penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 sebagai penolong jurulatih kebangsaan.

Untuk rekod, Cheng Hoe kembali semula bersama FAM pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.

Antara kejayaan yang diraih beliau ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

"Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih.

"Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar di laman rasmi Facebook FAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

FAM, Cheng Hoe, Piala Suzuki AFF 2020