TCH 'out', Bojan 'in'!


  • Podium
  • Isnin, 03 Jan 2022

HODAK ketika meraikan kejayaan KL City FC menjulang Piala Malaysia 2021 pada November lalu. — The star

TAN Cheng Hoe secara rasminya meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Isnin, dua minggu selepas Harimau Malaya tersingkir di peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020.

Peletakan jawatannya itu disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Facebooknya yang mengatakan bahawa Cheng Hoe membuat keputusan itu berikutan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini.

Di ruangan komen, terdapat sebilangan netizen yang mencadangkan nama ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak untuk mengambil alih skuad negara.

Bagaimanapun, seorang pengguna Facebook, Areil Al Fath mengingatkan orang ramai ketika Bojan Hodak diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad bawah 19 tahun (B-19) negara pada 2017 hingga 2019 dahulu.

Menurutnya, jurulatih yang berasal dari Croatia itu sememangnya lantang bersuara mengkritik FAM sehingga menyebabkan jodohnya bersama skuad negara tidak panjang.

"Masih ingatkah? Bojan Hodak menjadi coach Malaysia B-19 dulu... Beliau pernah mengkritik pengurusan FAM, terus kena buang.

"Sebelum menjadi jurulatih skuad negara B-19, beliau juga pernah mengkritik padang Bukit Jalil pada tahun 2014, sebelum final Piala Malaysia. Bojan Hodak ada memohon maaf sebab mengkritik padang Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Bojan mengkritik sistem bola sepak Malaysia selepas kekalahan dua perlawanan peringkat kumpulan pada Kejohanan Piala Sanix di Jepun dulu.

"FAM meminta Bojan menjawab dengan menunjuk surat 'tunjuk sebab'. FAM menegaskan ia tidak ada kena-mengena dengan isu kontrak atau prestasi pasukan. Masa tu juga, Roadmap F:30 baru dilancarkan pada sekitar bulan april 2019," katanya dalam satu hantaran Facebook.

Screenshot 2022-01-03 at 13.31.35

Pendapat yang diutarakan Areil Al Fath mengenai Hodak.

Menurutnya, Bojan dikenakan hukuman kerana melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM, dan akhirnya ditunjukkan jalan keluar pada Mei 2019.

"Jadi, apa yang Bojan kritik tentang sistem bola sepak Malaysia? Beliau mengkritik pemain Malaysia hanya memulakan sistem latihan secara serius ketika berusia 16 atau 17 tahun.

"Pemain Malaysia seharusnya berlatih lebih awal lagi dengan banyak perlawanan-perlawanan kompetetif. FAM kurang senang dengan kenyataan Bojan selepas dua perlawanan di Piala Sanix 2019," katanya.

Areil Al Fath turut memberi contoh ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo yang pernah mengkritik Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) tentang perkara sama.

Katanya, Hang Seo menegaskan kepada VFF bahawa persatuan bola sepak harus berganding bahu dengan jurulatih untuk melakukan persediaan dan tidak boleh meletakkan segala-galanya di bahu jurulatih.

Berbeza dengan FAM, VFF mengambil kritikan ketua jurulatihnya dengan positif dan mengubah pendekatannya sehingga berjaya memperbaiki tahap bola sepak negara itu.

"Bagus juga Bojan mengkritik sistem bola sepak negara agar kita perlu tahu kelemahan bola sepak Malaysia. Kita perlu mendengar dan menerima kritikan itu secara terbuka untuk memperbaiki bola sepak negara.

"Penyokong Malaysia mahu ambil Bojan Hodak menjadi jurulatih kebangsaan negara, tapi apakah FAM mahu ambil Bojak sebagai jurulatih negara?

"Bojan adalah 100 peratus orang bola sepak, negara dia pun main di final Piala Dunia 2018.

"Negara kita yang belum pernah masuk Piala Dunia merasa sudah cukup pandai dalam hal bola sepak.

"Mahu mencari pemain berbakat, tapi Piala Belia dan Piala Presiden dibatalkan. Macam mana mahu mencari pemain berbakat?" soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegra