SELEPAS Tan Cheng Hoe meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Isnin, banyak pihak yang mula menuding jari menyalahkan satu sama lain sebagai punca beliau gagal membawa skuad Harimau Malaya pergi lebih jauh pada kejohanan Piala AFF Suzuki baru-baru ini.
Namun, bagi pengguna Facebook, Masharakat BOLA, penyokong Harimau Malaya juga turut menyumbang kepada perletakan jawatan pengendali yang berasal dari Kedah itu.
Menurutnya, Cheng Hoe melakukan keputusan tepat dengan meletak jawatan, namun menegaskan bahawa jurulatih berusia 53 tahun itu hanyalah mangsa keadaan.
Dia menyalahkan mentaliti penyokong tempatan sebagai punca utama Cheng Hoe gagal membawa skuad Harimau Malaya lebih maju.
"Ketidakupayaan berfikir penyokong Malaysia. Ini adalah faktor utama, faktor yang paling menyusahkan dan membebankan Tan Cheng Hoe.
"Semua tahu, satu Asia Tenggara tahu, bukan juga satu retorik bahawa penyokong Malaysia merupakan kelompok penyokong yang bermentaliti kelas ketiga dan jika dibandingkan dengan negara-negara seperti Indonesia, penyokong kita jauh tertinggal," katanya pada Isnin.
Hantaran Facebook Masharakat BOLA pada Isnin selepas Cheng Hoe meletak jawatan.
Jelasnya, penyokong bola sepak tempatan mempunyai pemikiran yang rendah dan terbatas, selain mudah terpengaruh dengan dengan anasir buruk.
Selain itu, dia mendakwa penyokong Harimau Malaya memiliki jati diri yang rapuh serta hidup dalam dunia fantasi sendiri dan meminggirkan nilai realistik dalam diri.
"Realitinya, kelompok penyokong malaysia hanya akan ada ketika pasukan menang dan akan meninggalkan pasukan ketika berdepan situasi rumit.
"Sebelum ini, siapa yang sering memekak meminta pemain hibrid dan naturalisasi? Siapa yang sering berlagak pandai menjadi 'scout' pemain berdarah Malaysia yang boleh menyarung jersi kebangsaan?
"Siapa yang mengira tahun untuk pemain import dinaturalisasikan? Siapa yang melonjak kegembiraan apabila desakan untuk memujuk Dion Cools menyarung jersi Malaysia berjaya?" soalnya.
Dia turut mengecam suara penyokong bola sepak tempatan yang kini lantang mahukan FAM supaya menggunakan khidmat majoriti pemain tempatan selepas persembahan hambar yang ditunjukkan pemain-pemain naturalisasi negara.
"Bila tewas atau tersungkur mula pusing 360 darjah, mahu majoriti tenaga tempatan pula?
"Baling batu sembunyi tangan? Tak malu ke?" ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram