'Jiwa pemain pada kelab, bukan Harimau Malaya'


  • Podium
  • Selasa, 04 Jan 2022

SKUAD negara terkandas di peringkat kumpulan kejohanan Piala AFF Suzuki baru-baru ini.

SIKAP sebahagian pemain negara yang meletakkan jiwa dan raga mereka kepada kelab berbanding skuad kebangsaan menjadi salah satu punca Harimau Malaya tidak mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir berkata, beliau kecewa dengan segelintir pemain yang tidak mempunyai rasa bangga apabila menyarung jersi kebangsaan.

"Kalau letak jurulatih berkelas dunia untuk kendalikan Harimau Malaya sekali pun, susah untuk kita pergi jauh kerana mentaliti pemain kita tidak berada di tahap tertinggi.

"Sebahagian pemain negara tidak meletakkan jiwa dan raga mereka kepada pasukan kebangsaan, tetapi kepada kelab yang membayar gaji mereka," katanya kepada Majoriti.

Katanya, sebahagian pemain negara seakan-akan bermain secara sambil lewa apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan kerana bimbang mendapat kecederaan.

Jelasnya, pemain berkenaan khuatir jika kelab yang diwakili mereka akan mengambil tindakan memotong gaji atau mengugurkan mereka daripada pasukan jika tidak dapat beraksi bersama kelab selepas tugasan antarabangsa.

Tambahnya, sikap seperti itu akan menyebabkan Harimau Malaya akan sentiasa ketinggalan di belakang negara-negara yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi seperti Thailand dan Indonesia.

"Kalau kita tengok pasukan Thailand, sebilangan pemain mereka mewakili kelab luar negara tetapi apabila dipanggil untuk tugasan antarabangsa, mereka akan bermain bermatian-matian kerana perasaan bangga dapat mewakili negara.

"Inilah juga yang menyebabkan tugas Tan Cheng Hoe sukar kerana walaupun beliau mempunyai pemain berkualiti tinggi, namun mereka tiada jiwa untuk beraksi.

"Patutnya mereka tunjukkan permainan yang baik ketika mewakili negara kerana lebih ramai orang luar tengok aksi antarabangsa.

"Inilah peluang mereka untuk pikat kelab-kelab besar di luar negara untuk menyambar mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram