Berani bersuara atau penyokong maki lagi — Pekan Ramli


  • Podium
  • Sabtu, 01 Jan 2022

PENYOKONG Harimau Malaya pernah 'menggila' mengecam pengurusan FAM. — Ultras Solo

KEBERANIAN untuk mendedahkan kebenaran sekiranya berlaku campur tangan berhubung kebebasan jurulatih bola sepak kebangsaan dalam soal pemilihan pemain, adalah penting bagi memastikan kemajuan bola sepak tempatan.

Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, jika tiada keberanian untuk mendedahkan kebenaran itu, pasukan bola sepak kebangsaan harus menanti satu lagi kecaman dan maki hamun daripada para peminat sewaktu pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun kelak.

"Belum terlambat untuk membuktikan atau menafikan pelbagai perspektif negatif tersebut.

"Cuma saya merayu, renunglah sejenak bahawa sukan bola sepak ini milik rakyat, milik kita bersama," katanya kepada Majoriti.

Sewaktu disoal tentang siapa patut meletakkan jawatan sejurus kegagalan Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF baru-baru ini, Pekan berkata, perkara itu perlu dilihat daripada pelbagai aspek.

"Persoalan siapa yang patut meletak jawatan sama ada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau ketua jurulatih kebangsaan bagi saya perlu dilihat dari pelbagai aspek.

"Kita perlu melihat dalam konteks kebertanggungjawaban yang menjadi amalan sebuah negara bangsa itu bukan dalam bidang sukan sahaja bahkan juga dalam pelbagai bidang lain seperti politik, ekonomi, sosial serta kemasyarakatan.

"Sesetengah negara itu seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, nilai kebertanggungjawaban mereka itu sangat tinggi sehingga mereka akan meletak jawatan tanpa dipaksa apabila sesuatu projek atau tanggungjawab yang diberikan sebagai pemimpin atau ketua tersebut gagal dilaksanakan dan dikecam oleh rakyat.

"Biasanya mereka tidak akan menunggu beberapa siri kegagalan demi kegagalan untuk mengundur diri.

"Namun di Malaysia, aspek kebertanggungjawaban ini bagaikan tidak wujud atau bukan menjadi prinsipal untuk bangsa negara kita dalam pelbagai bidang politik, ekonomi, sosio ekonomi, budaya, kemasyarakatan dan juga sukan.

"Seorang pemimpin atau ketua yang melakukan pelbagai kesalahan dan kegagalan tidak pernah rasa 'berdosa' dan bersalah apatah lagi untuk secara sukarela meletakkan jawatan.

"Prinsip menyalahkan orang lain dan menegakkan benang yang basah itu seolah-olah menebalkan lagi 'muka tembok' mereka dan 'lantak pi lah' dengan anjing yang sememangnya kerja menyalak bukit," jelasnya merujuk kepada kepimpinan FAM.

Tambahnya lagi, aspek kebertanggungjawaban ini sekiranya menjadi amalan dan keutamaan di negara ini, maka tampuk kepimpinan khususnya FAM akan terlalu kerap bertukar setiap tahun kerana pasukan kebangsaan sering kecundang dalam pelbagai misi saban tahun.

"Malahan ada pengajaran juga buat FAM kerana pernah memiliki ikon pemimpin bola sepak yang hebat tetapi hanya mampu bertahan memimpin badan induk bola sepak tempatan itu setahun sahaja.

"Fikir-fikirlah sendiri apa agaknya punca peletakan jawatan itu," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram