Bekas pengurus Liga-M dedah sebab sukar dapat pemain Thai, Vietnam


  • Podium
  • Sabtu, 01 Jan 2022

TAHAP pasukan kebangsaan perlu ditingkatkan bagi menarik minat pemain import untuk bermain di liga Malaysia. — AFP

PARA peminat bola sepak tempatan teruja dengan persembahan mempesonakan yang ditampil oleh pemain terkemuka Asia Tenggara dalam Piala Suzuki AFF dan menggesa agar mereka dapat memeriahkan Liga Malaysia (Liga M).

Namun realiti tersebut amat jauh, terima kasih kepada pilihan yang dimiliki kesemua bintang terbabit untuk bermain di liga terkemuka lain seperti di Eropah dan Asia.

Kebanyakan peminat tentu mengimpikan para pemain dari Thailand, Indonesia dan Vietnam untuk menaikkan Liga Super suatu hari nanti namun pemerhati bola sepak yang lebih objektif percaya mereka tidak lagi melihat Malaysia sebagai destinasi menarik.

Para pemain ini begitu bernilai tinggi sehinggakan mereka mempunyai cita-cita besar untuk bermain di Eropah, Jepun atau Korea Selatan.

Sesetengah daripada mereka merasakan selesa bermain di liga domestik yang tahapnya lebih tinggi.

Menurut bekas pengurus Terengganu FC (TFC), Zul Fadli Rodi, beliau pernah cuba menandatangani beberapa pemain dari Vietnam dan Thailand semasa membimbing pasukan tersebut tetapi berdepan kesukaran untuk memeterai rundingan berkenaan.

"Kami pernah cuba mendapatkan bek kanan Vietnam, To Van Vy dan pernah memantaunya dua kali dengan menonton perlawanannya bersama kelab Becamex Binh Duong.

'Gaji tidak menjadi isu tetapi yuran perpindahan yang diminta terlalu tinggi.

"Yuran perpindahan itu bersamaan dengan jumlah 12 bulan gajinya. Kami tidak mampu membayarnya.

"Tambahan pula, ramai pemain terbaik mereka mahu bermain di liga teratas Jepun dan Korea Selatan. Ada yang mahu bermain di Liga Thailand.

"Bagi pemain Thailand, anda perlu faham bahawa liga mereka dinilai paling terbaik di rantau ini. Ia adalah penanda aras.

"Sama ada para pemain terkemuka mereka kekal di negara itu atau mereka mengikuti jejak langkah Chanatip Songkrasin yang bermain untuk kelab Liga Jepun, Consadole Sapporo.

"Ini bukan sahaja berkaitan dengan wang. Para pemain juga melihat status liga terbabit," katanya.

Tambah Zul Fadli, kelab Malaysia lebih mudah untuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Filipina kerana harga yang berpatutan dan senang untuk dibawa ke Liga Super.

"Kita mahu mendapatkan pemain yang lebih baik daripada pemain tempatan. Itulah sebanya kita melihat pemain kebangsaan Filipina, kebanyakan mereka adalah berdarah campuran.

"Dari segi fizikal, mereka juga lebih kuat," ujarnya lagi.

Bagi pengasas bersama Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar, taraf negara lain di rantau ini lebih tinggi sekarang tetapi Malaysia masih memiliki beberapa pemain terbaik ASEAN dalam Liga Super.

"Pertama, jika anda lihat liga tempatan, kita masih mempunyai pemain terkemuka seperti Safuwan Baharuddin (Selangor), Manuel Ott (Melaka) dan Kevin Ray Mendoza (Kuala Lumpur). Tetapi untuk mendapatkan lebih ramai lagi pemain, ia akan menjadi sukar.

"Standard negara lain sudah meningkat. Singapura kelihatan menarik, Indonesia juga banyak meningkat. Vietnam kekal pasukan teratas dan Thailand, kita semua tahu standard mereka.

"Pemain mereka tidak melihat Malaysia sebagai batu loncatan ke tahap yang lebih tinggi. Pemain mengharapkan lebih daripada itu.

"Mereka mahu bermain di Thailand dan Vietnam serta kemudian ke Jepun atau Korea Selatan. Malaysia bukan pilihan pertama.

"Selain itu, nilai beberapa pemain sudah meningkat. Mereka memperoleh gaji kira-kira AS$10,000 (RM41,000)-US$15,000 (RM62,000) sebulan. Di Malaysia, bagi kuota Asean, lingkungan gaji biasanya AS$5,000 (RM20,000)-US$10,000 sebulan.

"Malah, pemain yang menerima gaji rendah di Vietnam turut keberatan untuk datang ke Malaysia.

"Jika kita meningkatkan taraf liga kita dan pasukan kebangsaan menjadi lebih baik, maka kami mungkin melihat lebih ramai bakat terbaik ini untuk datang ke Malaysia," menurutnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram