Liverpool penuhi permintaan Salah


  • Podium
  • Sabtu, 01 Jan 2022

SALAH dapat layanan terbaik setakat ini di Anfield. — Agensi

PENYOKONG Liverpool menaruh harapan Mohamed Salah akan menandantangani kontrak, sekali gus menjadi hadiah bonus Krismas buat mereka.

Tapi perkara itu masih belum berlaku, dan kini penyokong hanya berharap pemain kelahiran Mesir itu akan kekal di Anfield sekurang-kurangnya sehingga hujung musim ini.

Salah hanya berbaki 12 bulan kontrak dan sebab itu tempoh lima bulan akan datang amat penting.

Ada laporan menyebut ejen Salah mahu pemain itu diberi gaji sekurang-kurangnya 400,000 pound sebulan kerana statusnya sebagai antara pemain terbaik dunia.

Namun bukan itu saja menjadi pertimbangannya. Salah sebelum ini memberitahu dia mahu bermain untuk kelab yang membuatkannya rasa disayangi.

Itu yang dirasainya di Anfield berbanding kelab-kelab yang disertainya sebelum ini.

Jika berhijrah ke PSG, dia mungkin menjadi salah seorang pemain bintang tetapi perlu berkongsi status itu dengan pemain berkelas dunia yang lain seperti Kylian Mbappé, Neymar dan Lionel Messi.

Peluangnya mungkin lebih cerah jika menyertai Real Madrid tetapi sukar untuk penuhi harapan kelab gergasi Sepanyol dan penyokongnya. Itu yang berlaku kepada Eden Harzard.

Liverpool juga sedar tawaran yang berjumlah 83 juta pound (pelaburan untuk tempoh empat tahun) lebih murah berbanding mencari pengganti yang setara Salah dan mereka sedia menyediakan kontrak tersebut.

Malah Liverpool juga sudah mula mencari beberapa pemain baharu seperti yang dinyatakan Salah dalam rundingan kontraknya.

Salah juga sudah menyatakan dengan jelas pendiriannya berhubung isu kontrak tersebut.

"Saya sudah berulang kali katakan, jika keputusan terletak di tangan saya, saya mahu kekal," kata Salah pada Disember tahun lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mohamad Salah, peminat, Liverpool, kontrak