Peminat Kedah 'reject', di mana destinasi Safiq Rahim?


  • Podium
  • Jumaat, 31 Dis 2021

BEBERAPA kelab tempatan bersedia untuk menyambar Safiq jika beliau berhasrat untuk meninggalkan JDT.

MENGINJAK usia 35 tahun, khidmat pemain tengah, Safiq Rahim dalam pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dilihat semakin terbatas dan mungkin tidak lagi diperlukan menjelang saingan liga musim depan.

Safiq melakukan 18 penampilan dalam seluruh pertandingan bersama JDT pada musim ini, dengan lapan daripadanya adalah daripada bangku simpanan.

Beliau juga sebelum ini pernah dipinjamkan ke Melaka United pada musim 2019, menunjukkan bahawa pemain itu bukanlah lagi pilihan utama dalam skuad Harimau Selatan.

Beliau berada di belakang Natxo Insa dan Afiq Fazail di posisi tengah pasukan, dan dengan peningkatan pemain yang lebih muda seperti Nazmi Faiz dan Syamer Kutty, peluang buat Safiq untuk beraksi dengan lebih kerap kian terbatas.

Belum ada sebarang pengumuman rasmi dari JDT sama ada kontrak Safiq yang mesra dengan panggilan Chopot akan disambung atau tidak, sekali gus mencetuskan spekulasi di mana destinasi seterusnya beliau pada musim depan.

Di luar JDT, Safiq dilihat masih boleh menembusi kesebelasan utama beberapa pasukan lain sama ada di Liga Super atau Liga Premier.

Walaupun usianya sudah meningkat, skil dan pengalaman yang ada pada Safiq masih lagi boleh memberi manfaat buat pasukan, malah beliau juga boleh beraksi dengan lebih baik daripada sebilangan pemain tengah yang berada dalam kesebelasan utama pasukan lain ketika ini.

Beberapa kelab tempatan pastinya bersedia untuk menyambar pemain tersebut jika beliau berhasrat untuk meninggalkan juara Liga Super itu.

Baru-baru ini, terdapat spekulasi yang mengaitkan bekas kapten Harimau Malaya itu dengan naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Bagaimanapun, rata-rata peminat KDA FC tidak gemar membayangkan kemungkinan pemain itu menyarung jersi hijau kuning pasukan berkenaan.

Ada yang menyifatkan disiplin Safiq boleh menjatuhkan kredibiliti dan imej pasukan manakala sebahagian tidak bersetuju kerana usianya yang sudah tua.

chopot

Sebilangan peminat KDA FC yang tidak bersetuju dengan spekulasi yang mengaitkan Safiq ke kelab itu.

"Kalau dia mai Kedah,aku tak nak tengok dah game Kedah, serius cakap," kata Zaidi Che Rose.

"Tak payah la... Umur macam ni dah tak sesuai main dengan Kedah... Baik ambil midfield muda, belajar dari Liridon," ujar Benedetta-rossi.

"Rasanya 80 peratus penyokong kedah tak suka kat Safiq ni... Kalau boleh carilah player yang lain, yang muda sikit... JDT pun dah reject, Kedah nak kutipkah," kata Abdul Halim Ahmad.

Kalau betul pun berita ini, harap KDA batalkan sajalah niat tu... Rosak, jatuh imej, kredibiliti pasukan kita nanti dengan disiplin dia," kata Ann Shah.

Bagaimanapun, ada juga penyokong KDA FC yang bersetuju jika Safiq menyertai kelab itu disebabkan kebolehan yang dimilikinya.

Menurut Adi Bahari, kualiti hantaran dan kekuatannya menjaga bahagian tengah boleh memberi manfaat kepada skuad Lang Merah.

"Dia ni ok, kemampuan dia mcm BB7 (Baddrol Bakhtiar) juga. Ketepatan hantaran terutama hantaran jauh baik.

Aku sokong saja kalau dia datang nak ganti tempat BB7. Dia pun agak firm dalam perebutan bola, tak lembik, boleh main role no 6," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram