KELAB Liga Super, Sri Pahang FC dilaporkan membuat pusingan U apabila mengekalkan dua tonggak yang dilepaskan sebelum ini.
Kelab itu pada 4 Disember lalu mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan kapten, Muslim Ahmad meninggalkan pasukan setelah lima tahun berkhidmat.
Muslim sebelum ini dikhabarkan bakal berubah angin ke kelab Borneo, Sabah FC untuk bersama jurulatihnya ketika di skuad Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee.
Pemain kelahiran Terengganu itu bagaimanapun difahamkan bakal kekal bersama skuad Tok Gajah pada musim depan selepas ketua jurulatih, Dollah Salleh masih mahu menggunakan khidmatnya.
Beliau bakal bergandingan dengan pertahanan import dari Perancis, Johan Martial yang dijangka menyertai skuad dalam masa terdekat.
Selain itu, pemain yang menyertai skuad Tok Gajah pada Mei lalu, Manuel Hildago juga dilaporkan kekal memperkuatkan jentera serangan pasukan walaupun kelab mengumumkan kontraknya tidak disambung awal bulan ini.
Pemain Argentina berusia 22 tahun itu melakukan 10 penampilan liga dan menjaringkan dua gol serta tiga bantuan gol pada musim lalu, sekaligus menyelamatkan pasukan daripada zon penyingkiran.
Pihak pengurusan difahamkan sudah mengikat pemain itu untuk kekal di Stadium Darul Makmur untuk tempoh sekurang-kurangnya satu tahun lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram