TFC lengkap kuota import, sah dapat Woodland


  • Podium
  • Rabu, 29 Dis 2021

WOODLAND pernah beraksi bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) sebelum ini. — Facebook

TERENGGANU FC (TFC) sah mendapatkan pemain kacukan Inggeris-Filipina, Luke Woodland, sekali gus melengkapkan kuota lima pemain import ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berkata, pemain kelahiran Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu menandatangani kontrak selama setahun.

"Woodland memulakan karier bersama Bolton Wanderers, Oldham Athletic dan York City di England sebelum menyertai kelab Filipina, Ceres Negros pada 2017.

"Beliau kemudian menyarung jersi kelab Thailand, Buriram United diikuti skuad The City Boys dalam Liga Super pada 2019 dan terakhir bersama kelab Thailand, Ratchaburi Mitr Phol FC sebelum kembali ke Liga Malaysia mewakili TFC," menurutnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Ab Rasid, kehadiran Woodland di posisi pertahanan diharap dapat membantu skuad Penyu memburu kejuaraan yang belum tercapai bersama pemain import lain iaitu Kipre Tchetche, Habib Haroon, Kpah Sherman dan Pape Diakite.

Beliau berkata, barisan pemain tempatan sudah mula melapor diri dan memulakan sesi latihan bersama ketua jurulatih, Nafuzi Zain sejak Isnin lalu manakala pemain import dijangka tiba dalam masa terdekat.

Sementara itu, Nafuzi mengakui kelebihan fizikal yang dimiliki Woodland mampu membantu memperkemas benteng pertahanan TFC.

"Saya lama berminat untuk 'melamar' Woodland tetapi malangnya beliau disambar liga Thailand terlebih dahulu.

"Saya harap kelebihan fizikal beliau dapat membantu memantapkan kubu pertahanan kerana sebelum ini pemain kita sentiasa bergelut apabila berdepan pemain lawan yang lebih tinggi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

TAG: TFC, Luke Woodland, import, skuad penyu, MFL