Harapan Ramon Marcote buat Kedah, Khamal Idris


  • Podium
  • Khamis, 30 Dis 2021

MARCOTE pernah membimbing Kedah selama empat tahun sebelum berhijrah keluar.

SKUAD Kedah Darul Aman (KDA) FC semakin lengkap untuk menghadapi saingan musim baharu Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC 2022.

Saingan musim 2021 menyaksikan Kedah menduduki tangga kedua Liga Super, dipisahkan 14 mata dengan juara JDT.

Bagi mencabar kejuaraan pada musim depan, pasukan Hijau Kuning itu dilihat melakukan rombakan besar-besaran senarai pemainnya selepas kehilangan beberapa tonggak utama seperti Baddrol Bakhtiar dan Mohd Rizal Ghazali yang berhijrah ke Sabah FC.

Mengulas tentang persiapan Kedah, bekas jurulatih legenda kelab itu, Ramon Marcote berkata beliau teruja untuk melihat pasukan itu beraksi pada musim dengan dibarisi muka-muka baharu.

Katanya 'pasukan baharu' Kedah itu mungkin akan mengambil masa untuk membuktikan kemampuan mereka terutamanya dari segi persefahaman antara pemain.

"Tapi pada masa yang sama, muka-muka baharu ini akan membawa tenaga dan semangat baharu kepada Kedah.

"Saya difahamkan beberapa pemain yang di bawah bimbingan saya kembali ke Kedah.

"Ini termasuk khabar angin yang mengatakan Liridon (Krasniqi) juga akan bersama Kedah musim depan.

"Saya rasakan penyokong pastinya teruja dengan khabar tersebut," katanya kepada Majoriti.

Ramon juga mengulas tentang perubahan dan kemajuan yang dicapai oleh Kedah di bawah pengurusan Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali.

"Kawan baik saya, Khamal melakukan tugas dengan baik membina pasukan untuk masim depan," katanya.

"Saya berharap Kedah dapat melakukan yang terbaik pada musim depan untuk kembali menjulang gelaran juara Liga Super yang kali terakhir dimenangi pada 2008," katanya.

Ramon pernah berbakti bersama Kedah selama empat tahun sebagai pembantu pengurus dan pengurus antara musim 2014 hingga 2018.

Beliau memiliki pengalaman sebagai jurulatih kecergasan untuk kelab Sepanyol, Altetico Madrid B dan kini merupakan ketua jurulatih skuad remaja Arab Saudi, Al Hilal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram