KELAB Liga Premier, Kelantan FC dilaporkan sedang giat memburu khidmat pemain import bagi menguatkan pasukan dalam menghadapi saingan musim depan.
Pengurusan kelab difahamkan sudah mempunyai dua calon yang dilihat sesuai untuk membantu skuad The Red Warriors kembali ke Liga Super.
Salah seorang daripada dua pemain itu merupakan nama yang tidak asing lagi dalam kancah bola sepak tempatan iaitu pemain sayap yang berasal dari Korea Selatan, Hwang Sin Young.
Sin Young pernah beraksi bersama Selangor United, yang kini ditukar kepada Sarawak United, pada 2019 hingga 2020.
Pemain berusia 27 tahun itu kini beraksi bersama kelab Seoul Nowon United, yang beraksi di liga keempat Korea, K4 League.
Pada musim ini, beliau berjaya merekodkan tujuh jaringan serta empat bantuan gol dalam 29 aksi liga bersama Seoul Nowon United.
Seorang lagi pemain yang menjadi pilihan untuk mengisi kuota import Kelantan FC adalah pemain tengah yang berasal dari Brazil, Rennan Saldanha.
Saldanha kini merupakan ejen bebas sejak Mac tahun ini selepas dilepaskan bekas kelabnya, Tigres.
Selain bahagian tengah, beliau juga pernah beberapa kali beraksi sebagai pertahanan tengah.
Sejak memulakan kariernya profesionalnya pada 2014, pemain berusia 25 tahun itu pernah menyertai beberapa kelab di negara kelahirannya sebelum berkelana selama beberapa bulan di Armenia bersama FC Masis pada 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram